PM jamin terus perkasa agenda Bumiputera, bantu semua rakyat miskin tanpa kira kaum

23 Mei 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa agenda memperkasa Bumiputera akan terus dipertahankan namun bantuan kepada rakyat miskin tidak boleh dibatasi mengikut kaum semata-mata.

Perdana Menteri berkata kerajaan perlu membantu semua rakyat yang memerlukan sebagai satu keluarga besar Malaysia tanpa menjejaskan komitmen terhadap agenda Bumiputera.

“Saya juga anak Bumiputera, saya pun sokong program-program untuk bantu Bumiputera.

“Tetapi tak bolehkah kita dalam negara ini, sementara kita nak bantu anak Melayu dan Bumiputera, kita juga fikir semua anak kita yang susah, miskin dan memerlukan bantuan itu kita bantu bersama sebagai satu keluarga besar Malaysia,” katanya ketika berucap pada Wacana Harmoni MADANI sempena Sambutan Hari Wesak 2026 di Menara Kent, Petaling Jaya hari ini.

Menurut Anwar, selepas hampir 70 tahun merdeka, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan Bumiputera dan dakwaan kononnya golongan itu dipinggirkan adalah tidak tepat.

“Kita dah hampir 70 tahun merdeka. Kita dah berikan sebaiknya dan tak boleh kalau orang Melayu atau Bumiputera kata kita dah pinggirkan mereka, tak betul,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbetulkan termasuk isu rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan pemimpin pelbagai kaum.

“Berapa puluh bilion ringgit saham yang dilesapkan. Berapa banyak rasuah oleh pemimpin-pemimpin.

“Bukan sahaja Melayu tentu ada, Cina, India ada. Tetapi tak bolehkah kita betulkan begitu?” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengkritik budaya politik perkauman yang menurutnya terus memainkan sentimen kebencian dan ketakutan antara kaum demi kepentingan politik sempit.

“Tetapi, buatlah apa pun yang balik bincang negara ini akan ditawan oleh kaum ini, dan masalah orang ini makan lain, kita makan lain.

“Jadi, tiap hari ada sahaja isu yang boleh menimbulkan rasa benci,” katanya.

Beliau berkata rakyat perlu mempunyai keberanian moral untuk mengubah wacana negara daripada politik perpecahan kepada semangat ihsan, hormat dan kemanusiaan.

“Tak bolehkah wacana kita itu berubah daripada perpecahan kepada kasih sayang, kepada MADANI, ihsan, hormat dan kemanusiaan,” katanya.

Menurut beliau, majoriti rakyat Malaysia sebenarnya mempunyai hati nurani yang baik, bekerja keras dan cintakan keamanan tanpa mengira kaum atau agama.

“Saya lihat dari segi kemanusiaannya ada yang baik hati nurani, yang bekerja dengan tekun, yang punya kecintaan kepada negara, yang sanggup berkorban.

“Ada Muslim baik, ada juga Muslim yang tidak baik. Ada Cina atau orang Buddha baik, ada juga yang tidak baik,” katanya.

Anwar turut menegaskan pembangunan negara tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek ekonomi, teknologi dan kecerdasan buatan semata-mata tanpa dipandu nilai moral dan etika.

“Di Malaysia, ketika kita bercakap tentang pembangunan, inovasi, transformasi digital, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan, kita mesti kekal berpegang teguh kepada keimanan, nilai moral dan etika,” katanya.

Beliau turut menggesa dialog antara agama terus diperkukuh bagi meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Mari kita mulakan dengan kefahaman ini dan teruskan dialog untuk menyemai pemahaman tentang nilai-nilai murni. Ia sangat penting,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *