
24 Mei 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melaksanakan
Program Jelajah Harta Intelek.
Inisiatif baharu ini merupakan pendekatan
untuk mengenal pasti dan memperkasa potensi produk tempatan yang
boleh dilindungi dan dikomersialkan secara lebih strategik sebagai aset
harta intelek.
Pemilikan harta intelek dalam pelbagai bentuk seperti
perlindungan petunjuk geografi (GI), cap dagangan, paten dan hak cipta
berupaya meningkatkan daya saing produk tempatan dalam pasaran
domestik dan antarabangsa.
Jelajah Harta Intelek hari ini melibatkan Sabah Tea, produk keluaran
sebuah syarikat tempatan dalam industri perladangan teh yang terletak di
Ranau, Sabah.
Syarikat Desa Tea Sdn. Bhd mengusahakan ladang teh
ini yang mula beroperasi sejak 1973. Manakala, pengeluaran dan
penghasilan teh telah bermula sejak 1978 dengan keluasan 6,200 ekar
yang dikelilingi hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun.
Sabah
Tea bukan sekadar terlibat dalam penghasilan teh, tetapi turut
membangunkan ekosistem perniagaan yang merangkumi sektor
hospitaliti, pelancongan berasaskan pengalaman (experiential tourism)
serta produk hiliran yang memanfaatkan identiti dan reputasi asal usul
geografinya.
Sabah Tea telah memperoleh perlindungan Petunjuk Geografi (GI) dan
antara contoh terawal kejayaan pemanfaatan instrumen harta intelek di
Sabah bagi melindungi identiti produk berasaskan asal usul geografi di
Malaysia.
Petunjuk Geografi (GI) menjadi antara instrumen harta intelek paling
strategik dalam membangunkan ekonomi berasaskan identiti, reputasi
dan keunikan produk tempatan, sekali gus berperanan sebagai
mekanisme ekonomi yang memposisikan produk tempatan sebagai
produk premium bernilai tinggi.
GI turut mewujudkan kesan pengganda
ekonomi atau multiplier effect kepada komuniti setempat melalui aktiviti
pelancongan dan rantaian nilai ekonomi seperti inap desa (homestay),
restoran, pengangkutan dan kraftangan di kawasan sekitar pusat
pengeluaran produk.
Setakat April 2026, Malaysia merekodkan sebanyak 130 GI berdaftar,
dengan 31 daripadanya berasal dari Sabah, menjadikan negeri ini antara
penyumbang utama kepada portfolio GI negara.
Antara produk GI yang
telah berjaya membina identiti pasaran tersendiri termasuk Sabah Tea,
Tenom Coffee, Borneo Virgin Coconut Oil, Sabah Seaweed, Tawau
Cocoa, Tambunan Ginger dan Batik Sabah.
Pengkomersialan Kearifan Lokal Menerusi Harta Intelek
Sejajar dengan potensi pembangunan aset harta intelek berasaskan
identiti tempatan Sabah, KPDN menerusi MyIPO sedang membangunkan
mekanisme perlindungan harta intelek yang lengkap dan tersusun
termasuk mewujudkan Sabah Intellectual Property Development Plan
2026-2030.
Ini merupakan antara agenda memperkasa ekonomi
berasaskan inovasi dan harta intelek melalui pengukuhan perlindungan
IP, pembangunan penilaian IP, pembiayaan berasaskan IP serta peluasan
pasaran produk tempatan melalui penjenamaan strategik Sabah.
Pelan ini akan memberi fokus untuk membangunkan ekosistem harta
intelek yang lebih bersepadu termasuk mengenal pasti GI baharu bagi
produk bernilai tinggi termasuk produk pertanian tanah tinggi, rumpai laut
dan kraftangan komuniti tempatan bagi memastikan kekayaan
biodiversiti, warisan budaya dan kearifan lokal Sabah dapat
diterjemahkan kepada sumber ekonomi yang memberi manfaat terus
kepada rakyat.
KPDN melalui MyIPO akan terus memperkukuh agenda pembangunan
harta intelek sebagai antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi
akar umbi khususnya dalam mengangkat potensi produk tempatan yang
berteraskan identiti, warisan dan keunikan setempat.
Menerusi
pendekatan tersusun dan strategik, usaha ini diharap dapat membuka
peluang yang lebih luas kepada komuniti, usahawan tempatan dan
pemain industri untuk menjadikan harta intelek sebagai antara aset untuk
menjana nilai ekonomi yang mampan sekali gus memberi manfaat
kepada rakyat.
YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup
Ranau, Sabah
24 Mei 2026
