Pemakluman Media Wisma Putra 24 Mei 2026: Kejadian Bangunan Runtuh di Filipina*

24 Mei 2026

Kementerian Luar Negeri sedang memantau dengan teliti perkembangan situasi berhubung kejadian sebuah bangunan runtuh di bandar Angeles, utara ibu negara Manila, Filipina pada hari ini, di mana operasi menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan individu-individu yang dikhuatiri terperangkap.

Kementerian menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada semua pihak yang terkesan akibat insiden ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat mengumpul maklumat sahih menerusi pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di lapangan. Pada peringkat awal ini, Kementerian mengesahkan bahawa dua warganegara Malaysia terkesan dalam bencana tersebut, di mana seorang telah disahkan selamat. Pihak Kementerian kini sedang giat mengenal pasti status seorang lagi warganegara Malaysia berkenaan.

Pihak Kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat. Pada masa yang sama, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kepada kedua-dua individu berkenaan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera, atau pihak yang ingin menyalurkan maklumat mengenai warganegara Malaysia lain yang kemungkinan berada di kawasan berkenaan, digesa untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila melalui saluran berikut:

Kedutaan Besar Malaysia di Manila
Talian Am: +63 286628200
Kecemasan Selepas Waktu Pejabat: +63 961 0778113
E-mel: mwmanila@kln.gov.my

Kementerian Luar Negeri akan terus menyalurkan maklumat lanjut seiring dengan perkembangan situasi dan setelah maklumat sahih diperolehi.

Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam
Kementerian Luar Negeri

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *