


Oleh: Sholina Osman
25 MEI 2026
Perlis menggalakkan Solat Aidiladha bagi tahun 1447H/2026M untuk dilaksanakan di tanah lapang (musolla) yang bermula mulai puk 7.45 pagi sehingga 8.15 pagi yang bergantung kepada keputusan dipilih oleh Jawatankuasa Kariah masing-masing.
Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan media hari ini.
Baginda bertitah demikian setelah mempersembah maklum dan mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah
setiap Jawatankuasa Kariah hendaklah memastikan agar hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih, dilaksanakan sebaiknya untuk penyelarasan kepada Ahli Kariah.
“Pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing di seluruh negeri Perlis. Pelaksanaan ini selaras dengan Sunnah Baginda Rasulullah SAW,” titah Baginda.
Walaubagaimanapun, titah Bagindq pihak Jawatankuasa Kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.
Titah Baginda bagi pelaksanaan Solat Aidiladha selain musolla yang ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Kariah seperti surau rasmi dalam negeri Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Bagaimanapun titah Baginda dalam keadaan cuaca buruk atau tidak sesuai, Solat Aidiladha akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.
“Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi,” titah Baginda.
Sementara itu bagi Kariah Kota Raja, Raja Perlis telah berkenan agar solat dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8.00 pagi.
Sekiranya keadaan cuaca yang tidak sesuai, solat akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri, Arau.
Pengurusan Masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidiladha seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Aidiladha, sila hubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di laman Facebook MAIPs.
Dalam pada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah juga berharap agar seluruh rakyat sentiasa mengamati dan mematuhi ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini.
“Besarlah harapan saya agar seluruh rakyat sentiasa mengamati dan mematuhi ketetapan yang terkandung dalam hebahan ini,” titah Baginda.
Sempena hari yang mulia ini, Baginda ingin mengajak semua untuk menjadikan Aidiladha sebagai madrasah yang mendidik kita untuk berkorban di dunia demi kebaikan akhirat.
“Rebutlah peluang untuk berpuasa pada hari-hari sebelum raya, dan basahilah lidah dengan takbir, tahmid, serta tahlil sebagai perlambangan kesyukuran kepada Allah Azza Wajalla. Semoga ibadah korban kita semua diterima di sisi-Nya,” katanya.
Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shareen Akashah Khalil serta seluruh usrah kerabat diraja menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1447H’ dan ‘Taqabbalallahu minna wa minkum’. – JM
