
25 Mei 2026
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan aktiviti penyalahgunaan dadah serta pesta tidak bermoral berunsur ‘gay’ di sebuah hotel terkemuka di ibu negara awal pagi tadi.
Dalam siri empat serbuan yang dilancarkan pada Isnin bermula pukul 2.35 pagi hingga 5 pagi, pihak polis berjaya menahan seramai 51 individu termasuk warga asing dengan rampasan dadah bernilai lebih RM100,000, demikian kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan.
“Berdasarkan maklumat risikan berkaitan kegiatan tidak bermoral ‘parti dadah’ dan ‘pesta gay’ di sebuah hotel terkemuka di ibu negara… kami telah melancarkan empat siri serbuan dan berjaya menangkap 51 individu terdiri daripada 23 lelaki tempatan serta 28 lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein memberitahu hasil pemeriksaan, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM103,070.00 termasuk cecair MDMA (1.15 kg), serbuk MDMA (284 gram), pil ekstasi (8.56 gram), serbuk ekstasi (8.7 gram) dan ketamin (11.61 gram).
Beliau berkata, sebelum serbuan dilakukan, polis menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di lobi hotel.
“Lelaki tersebut kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital tersebut,” katanya.
Katanya, kumpulan itu dikesan menjadikan bilik-bilik hotel mewah sebagai lokasi untuk berhibur, menyalahgunakan dadah serta dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 36 orang positif dadah manakala 15 orang negatif dadah,” katanya.
Tambah beliau, semakan rekod jenayah lampau mendapati seorang daripada suspek yang ditangkap mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegasnya.
.
