Dasar pentadbiran kerajaan perlu telus, mudah diramal, pelabur dan rakyat berasa selamat – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
26 MEI 2026

Bagi negeri seperti Perlis, pengaruh dan kekuatan sebenar tidak datang daripada keluasan tanah atau kekayaan sumber semula jadi.

Sebaliknya, kuasa acuan ini perlu lahir daripada kredibiliti yang dibina secara sabar melalui sikap konsisten serta janji yang sentiasa ditepati.

Apabila dasar pentadbiran sentiasa telus dan mudah diramal, pelabur dan rakyat akan berasa selamat untuk merancang masa depan mereka di sini.

Segenap peringkat perlu berfungsi dengan adil tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak bagi mengekalkan kepercayaan tinggi ini.

SISTEM PENYAMPAIAN AWAM

Integriti yang kukuh dalam sistem penyampaian awam akan memastikan setiap pelan pembangunan dapat dijalankan dengan cekap.

Akhirnya, reputasi yang bersih dan utuh ini akan bertukar menjadi modal strategik yang amat bernilai bagi memacu kemajuan serta menaikkan imej negeri di peringkat yang lebih tinggi.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Penyerahan Agihan Zakat MAIPs anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Jannatul Naim Beseri Sungai Paya, Beseri baru-baru ini.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

KEBAJIKAN GOLONGAN ASNAF

Program ini merupakan inisiatif berterusan MAIPs yang mencerminkan komitmen tinggi terhadap kebajikan golongan asnaf serta keprihatinan dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang memerlukan di negeri ini sentiasa terbela.

Usaha ini khususnya memberi fokus kepada mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih sempurna, menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.

AGIHAN SUMBANGAN ZAKAT

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah berkenan menyampaikan agihan sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM105,000 kepada seramai 150 penerima asnaf terpilih.

Setiap penerima menerima bantuan kewangan melibatkan 75 orang daripada anak kariah Kampung Belukar dan 75 orang lagi daripada anak kariah Kampung Beseri Sungai Paya.

Inisiatif MAIPs ini bukan sahaja mencerminkan peranan institusi zakat dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan, malah menjadi bukti bahawa konsep kesejahteraan ummah terus diperkasa melalui pendekatan turun padang yang menyantuni rakyat secara langsung dan berkesan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *