
30 Mei 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
bakal melancarkan OPS KESAN 6.0 di bawah Akta Kawalan Harga dan
Antipencatutan (AKHAP) 2011 [Akta 723] berkuat kuasa bermula 1 Jun
2026 sehingga 31 Ogos 2026.
Pelaksanaan OPS KESAN 6.0 ini bertitik tolak daripada krisis bekalan
global pada awal tahun 2026 yang telah mencetuskan lonjakan harga
minyak mentah dunia.
Situasi ini dijangka memberikan kesan
berperingkat kepada rantaian bekalan, kos penghantaran, serta harga
barangan asas di Malaysia.
Langkah proaktif ini diambil bertujuan untuk
memantau dan memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan
daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi, mahupun perniagaan
demi memperoleh keuntungan tinggi yang tidak munasabah.
Tindakan
penguatkuasaan ini selaras dengan perundangan Akta 723
serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan
(Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak
Munasabah) 2018.
Pelaksanaan OPS KESAN 6.0 juga akan menggunakan pungutan data-
data sedia ada yang sebahagiannya telah pun dipungut secara berkala
oleh KPDN sejak tercetusnya krisis di Asia Barat.
Skop pemeriksaan kali ini akan memfokuskan keseluruhan rantaian
bekalan merangkumi peringkat pengilang, penternak, peladang,
pengedar, pemborong, sehinggalah peruncit.
Antara sektor utama yang
dikenal pasti memberikan kesan langsung kepada pengguna dan menjadi
sasaran operasi termasuklah:
- Sektor Petrokimia: Pembungkusan dan plastik (Polietilena &
Polipropilena) serta baja pertanian (Urea & Ammonia). - Sektor Pertanian: Sayur sawi, sayur kailan, timun, tomato, dan cili
merah. - Sektor Penternakan: Makanan asas ayam pedaging dan penelur,
ayam standard, serta semua jenis telur ayam (Gred A, B & C). - Sektor Pengangkutan: Caj penghantaran logistik.
- Sektor-sektor Lain:
Pemeriksaan berkala secara proaktif
berdasarkan aduan semasa yang diterima sepanjang operasi
berlangsung.
Sepanjang pelaksanaan OPS KESAN 6.0, pegawai penguat kuasa KPDN
di seluruh negara akan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat
Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 kepada premis yang
diperiksa bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai harga jualan
dan kos operasi.
Kementerian menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap
mana-mana peniaga yang gagal mematuhi atau memberikan maklum
balas terhadap Notis Seksyen 21 tersebut. Notis ini merupakan instrumen
perundangan kritikal bagi mengarahkan pengemukaan dokumen
perniagaan, maklumat kos, serta invois bagi membolehkan analisis
terperinci ke atas sebarang aktiviti pencatutan dilakukan.
Sehubungan
dengan itu, Bahagian Penguatkuasaan memberikan amaran keras
bahawa kegagalan mematuhi arahan berkenaan atau tindakan
mengemukakan maklumat palsu merupakan satu kesalahan yang boleh
dihukum di bawah seksyen ini, tanpa perlu menunggu keputusan akhir
analisis margin keuntungan perniagaan tersebut.
Sekiranya hasil analisis awal mendapati wujud kenaikan peratusan
keuntungan semasa yang melebihi nilai keuntungan tahun sebelumnya,
dan siasatan lanjut telah membuktikan perniagaan tersebut mencatut,
tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 14(1) AKHAP
2011 yang memperuntukkan hukuman berat seperti berikut:
Bagi Pertubuhan Perbadanan (Syarikat):
Kesalahan Pertama: Denda tidak melebihi RM500,000.
Kesalahan Kedua atau seterusnya: Denda tidak melebihi RM1,000,000.
Bagi Bukan Pertubuhan Perbadanan (Peniaga Individu):
Kesalahan Pertama: Denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak
melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan Kedua atau seterusnya: Denda tidak melebihi RM250,000
atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
KPDN kekal komited dalam mengesan serta mengekang sebarang aktiviti
mencatut bagi memastikan kestabilan kos sara hidup rakyat terus
terpelihara.
Orang ramai perlu menjadi ‘mata dan telinga’ Kementerian
dengan menyalurkan maklumat rasmi berhubung kenaikan harga yang
mencurigakan menerusi saluran berikut:
WhatsApp: 019-848 8000
Portal e-Aduan: https://eaduan.kpdn.gov.my
Pusat Panggilan (Call Centre): 1-800-886-800
Aplikasi Telefon Pintar: Ez ADU KPDN
DATUK AZMAN BIN ADAM
Ketua Pengarah Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup
Putrajaya
30 Mei 2026
