PBB tegaskan Gaza hak mutlak rakyat Palestin

NEW YORK, 30 Mei – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan keseluruhan wilayah Gaza adalah hak mutlak rakyat Palestin.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menyatakan bahawa badan dunia itu mahu melihat Gaza kekal di bawah pentadbiran rakyat Palestin dan mengulangi gesaan agar Israel berundur daripada kawasan pendudukan yang merentasi garisan sempadan yang dipersetujui, atau dikenali sebagai “garisan kuning”.

Kenyataan PBB itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mahu memperluaskan kawalan tentera rejim di wilayah tersebut.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada Oktober lalu, tentera Israel sepatutnya hanya mengekalkan kawalan ke atas 53 peratus wilayah Gaza.

Bagaimanapun, Netanyahu dalam kenyataannya pada Jumaat mengumumkan bahawa Israel akan meluaskan kawasan penguasaan itu kepada sebanyak 70 peratus, tanpa mendedahkan butiran terperinci atau garis masa pelaksanaannya.

Mengulas mengenai pengumuman itu, kumpulan pejuang Hamas menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Israel itu sebagai bukti jelas pelan “pembersihan etnik” dan pengusiran paksa terhadap rakyat Palestin.

Ketika ini, selepas lebih lapan bulan gencatan senjata berkuat kuasa kemelut di Gaza dilaporkan masih gagal diselesaikan.

Israel didapati terus melancarkan serangan, menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan kepada orang awam, selain mencetuskan risiko keganasan baharu.

Berdasarkan data terbaharu, Israel secara senyap-senyap telah pun memperluaskan zon kawalannya daripada 53 peratus kepada kira-kira 64 peratus, menerusi peta sekatan kawasan yang dikongsikan oleh rejim itu kepada kumpulan-kumpulan bantuan kemanusiaan.

Sumber -REUTERS

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *