Israel tawan kubu bersejarah Lubnan berusia 900 tahun

QLAYYA, Lubnan, 1 Jun – Tentera Israel menawan Istana Beaufort yang berusia lebih 900 tahun di selatan Lubnan ketika konflik dengan Hizbullah terus memuncak meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa.

Benjamin Netanyahu menyifatkan penguasaan kubu bersejarah itu sebagai perubahan besar dalam operasi ketenteraan Israel terhadap Hizbullah.

Dalam perkembangan sama, Hizbullah melancarkan serangan ke atas kedudukan tentera Israel di Shlomi dan Nahariya di utara Israel ketika siren amaran serangan udara dibunyikan di beberapa kawasan.

Susulan peningkatan konflik itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, (UNSC) dijadual mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin bagi membincangkan situasi di Lubnan.

Mesyuarat itu diminta Perancis, dengan Presiden Emmanuel Macron menggesa pertempuran dihentikan sepenuhnya selain menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan serangan di selatan Lubnan.

Sementara itu, serangan udara Israel berhampiran sebuah hospital di Tyre dilaporkan mencederakan 13 petugas perubatan ketika puluhan lagi serangan dilancarkan di beberapa kawasan selatan Lubnan. – AFP

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *