


Oleh: Sholina Osman
1 JUN 2026
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act 2025, ONSA), menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak di Malaysia.
Kenyataan media MCMC hari ini memaklumkan bahawa CPC memperkukuh perlindungan kanak-kanak dengan mewajibkan pemberi perkhidmatan media sosial berlesen untuk melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk (safety by design) serta mempertingkatkan perlindungan yang bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak
dalam persekitaran digital negara.
Selaras dengan tanggungjawab berkanun di bawah ONSA, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun.
REKOD YANG DIKELUARKAN
Pengesahan umur hendaklah dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.
Mulai 1 Jun 2026, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen hendaklah memastikan hanya pengguna yang berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun serta mengakses mana-mana ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka.
Bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur akan dilaksanakan secara progresif dalam tempoh sehingga enam bulan oleh pemberi perkhidmatan media sosial yang berkaitan.
PENGGUNA SEDIA ADA
Dalam tempoh tersebut, pengguna sedia ada yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan satu bulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh penyedia perkhidmatan media sosial yang berkaitan.
Keperluan pengesahan umur ini terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook (FB), Instagram, TikTok dan YouTube, selaras dengan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung keselamatan dalam talian dan aspek perkembangan kanak-kanak.
MCMC menggesa semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen mematuhi sepenuhnya obligasi statutori mereka di bawah CPC dan ONSA, termasuk melaksanakan langkah pengesahan umur yang berkesan di platform masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.
KEPATUHAN TERHADAP KEPERLUAN
MCMC memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan ini dan akan l mengambil tindakan kawal selia serta penguatkuasaan yang sewajarnya selaras dengan undang-undang.
RMC melengkapkan langkah-langkah tersebut dengan mewajibkan
pemberiperkhidmatan melaksanakan perlindungan secara proaktif, termasuk menjalankan penilaian risiko, memperkukuh penyederhanaan kandungan, menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti platform.
MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, pemain industri dan masyarakat bagi memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab. – JM
