Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis hadir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026

Oleh: Sholina Osman
31 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Keberangkatan Baginda berdua yang diiringi anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah dan Hajah Sharifah Farah Adriana, adalah bagi menyempurnakan pelancaran lapan buah buku baharu serta merasmikan promosi gastronomi negeri Perlis.

Ketibaan delegasi diraja disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan WTCKL, Fauzy Wahab.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, Ahli Luar Bukan Eksekutif Suruhanjaya Kredit Pengguna, Datuk Mohd Muazzam Mohamed dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas KPJ Healthcare Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

ENAM NASKHAH ILMIAH

Baginda berdua diiringi Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Dr. Hazami Jahari (Ketua Pengarah DBP), serta Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamad (Timbalan Ketua Pengarah Dasar, DBP) berkenan melancarkan enam naskhah ilmiah terbitan DBP iaitu Isu-Isu Pandemik dari Kaca Mata Islam (Terbitan bersama UniSIRAJ), Biografi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Biografi Ketua Pengarah DBP, Legasi Ulama Melayu, Akhlak dalam Islam, dan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.

Acara diteruskan dengan pelancaran dua buah buku terbitan Galeri Ilmu Media Group, disaksikan oleh CEO Kumpulan, Mohd Yusri Yusof berjudul Profesor Yang Membeli Syurga dan Kehilangan (Karya Datuk Dr. Zaini Mohd Ariff) dan Kasih Sayang Tuhan.

Sempena kunjungan tersebut, Baginda berdua turut meluangkan masa melawat beberapa lokasi pameran utama sastera tempatan dan antarabangsa, termasuk Reruai Kingdom of Saudi Arabia serta Reruai Mufti Brunei Darussalam yang menjadi tumpuan utama pengunjung.

PLATFORM TAHUNAN TERBESAR

PBAKL 2026 yang memasuki edisi ke-43 berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026, bertindak sebagai platform tahunan terbesar negara dalam memperkukuh ekosistem penerbitan dan memartabatkan budaya membaca.

Kunjungan diraja diakhiri dengan perasmian Promosi Masakan Perlis di Riverside Café & Restaurant, WTCKL.

Program gastronomi ini merupakan kolaborasi strategik antara Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), dan Restoran Shamiza Mohd Noor Guar Nangka, Perlis.

Promosi ini menonjolkan menu warisan Kurma Daging Perlis yang disediakan secara khusus oleh Eksekutif Cef restoran berkenaan Muhamad Rusmi Che Dol. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *