TINDAKAN PENGUATKUASAAN KKM TERHADAP IKLAN DAN PENJUALAN VAPE SECARA DALAM TALIAN

4 Jun 2026

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil serius aduan yang dibangkitkan
di media sosial berhubung aktiviti pengiklanan dan penjualan produk vape secara
dalam talian yang disyaki melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan
Awam 2024 [Akta 852].

Susulan aduan tersebut, KKM telah membuat semakan terhadap sepuluh (10)
platform laman sesawang yang diadukan dan telah mengemukakan permohonan
tindakan di bawah Seksyen 263(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta
588] kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk
menyekat empat (4) laman sesawang berkenaan.

Manakala enam (6) lagi laman
sesawang sedang dalam tindakan susulan siasatan.

Akta 852 telah dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024 dan pelaksanaan penuh
bermula 1 Oktober 2025.

KKM komited menguatkuasakan Akta 852 dengan
melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa).

Operasi ini memberi
fokus utama pada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis
produk merokok, bertujuan untuk melindungi generasi muda daripada bahaya
produk merokok, termasuk rokok elektronik dan vape yang semakin berleluasa.

Sehingga 30 April 2026, sebanyak 34,903 aktiviti penguatkuasaan telah
dijalankan dengan 683,704 premis telah diperiksa di seluruh negara.

Hasil
penguatkuasaan adalah seperti berikut:

a) 233,831 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan boleh dikompaun; dan

b) 4,226 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak boleh dikompaun.

Manakala bagi tindakan pendakwaan di mahkamah, sebanyak 398 kes masih dalam
tindakan pendakwaan dan 204 kes telah selesai dijatuhkan hukuman denda yang
berjumlah RM1,189,100.00.

KKM juga sentiasa memantau kesalahan iklan dan promosi produk tembakau secara
dalam talian termasuk penjualan vape.

Sehingga 30 April 2026, sebanyak 2,595
kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 7,
8, 9 dan 10 dalam Akta 852.

KKM menegaskan tiada kompromi terhadap pelanggaran Akta 852. KKM amat
menghargai keprihatinan masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan aduan
berkaitan ketidakpatuhan undang-undang kesihatan.

Sebarang maklumat dan aduan
boleh disalurkan secara rasmi melalui talian WhatsApp Aduan Merokok di 010-
8608949.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
1 JUN 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *