







Oleh: Sholina Osman
6 JUN 2026
Jabatan Perhutanan Perlis menganjurkan Forum Perdana Sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ) Kangar.
Ia sebagai platform bagi memperkukuhkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan hutan dan alam sekitar berlandaskan tuntutan agama.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan berangkat menghadiri forum tersebut.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengarah Perhutanan Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni bersama para pegawai kanan jabatan.
MENYEMAI KEFAHAMAN MASYARAKAT
Penganjuran forum ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perhutanan Perlis untuk mendidik dan menyemai kefahaman masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam memelihara khazanah alam semula jadi, khususnya kawasan hutan yang menjadi sumber kehidupan serta penampan ekosistem negara.
Forum yang membawa tema “Amanah Hijau: Perhutanan dan Tanggungjawab Khalifah” itu menampilkan Guru Takmir Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Mohd Shafiy Zakaria sebagai moderator.
Sementara itu, dua ahli panel yang dijemput berkongsi pandangan dan ilmu ialah Profesor di Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Hasmadi Ismail serta Ketua Penolong Pengarah merangkap Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
MENGUPAS HUBUNGAN ERAT
Perbincangan yang berlangsung telah mengupas hubungan erat antara pemeliharaan alam sekitar dan tuntutan agama Islam yang meletakkan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Para panel turut menegaskan bahawa usaha melindungi hutan, memulihara biodiversiti dan mengurus sumber asli secara lestari merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul bersama demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Program tersebut turut menjadi medan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan penting hutan dalam mengekalkan keseimbangan ekologi, mengurangkan kesan perubahan iklim serta menjamin kelangsungan sumber semula jadi negara.
Penganjuran forum seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan bukan kerajaan serta masyarakat dalam membudayakan amalan pemeliharaan alam sekitar sebagai satu tanggungjawab bersama yang selari dengan tuntutan agama dan aspirasi pembangunan mampan negara. – JM
