
7 Jun 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
mempelawa lebih banyak pihak tampil menjadi rakan strategik rasmi dalam
memperkasa pelaksanaan inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).
Penyertaan
boleh diajukan kepada Sekretariat i-FB yang diselaraskan melalui Majlis
Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di bawah KPDN.
Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) merupakan pendekatan baharu yang dirintis
bermula bulan Disember 2025 bagi menggerakkan agenda transformasi
dalam memperkukuh pelaksanaan Program Food Bank Malaysia.
Agenda
transformasi ini menggariskan tiga komponen objektif inisiatif i-FB iaitu
Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
Inisiatif i-FB menekankan kepada usaha menyemarakkan nilai ihsan belas
kasihan dalam masyarakat untuk bersama dalam gerakan menyantuni
komuniti khususnya golongan rentan dan kumpulan sasar untuk
menyalurkan bantuan makanan melalui food bank.
Ini sekali gus membantu
golongan sasar dalam menghadapi kos sara hidup rakyat khususnya
perbelanjaan makanan.
Pada masa yang sama, i-FB menyemai kesedaran dan kepedulian
masyarakat terhadap usaha menyayangi alam melalui kawalan
penghasilan lebihan makanan (food surplus) yang menjadi sisa pepejal.
Peningkatan sisa makanan yang tidak terkawal akan melibatkan kos
pengurusan pembuangan sampah secara haram mahupun pembukaan
lebih banyak tapak pelupusan sampah.
Keadaan ini sekali gus akan
memberikan kesan kepada tahap kualiti alam sekitar.
Inisiatif i-FB turut menumpukan usaha meningkatkan kebersamaan dan
khidmat bakti masyarakat dalam gerakan menyelamatkan makanan (food
rescue).
Ini juga bertepatan dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat
Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan
separuh daripada pembaziran makanan di peringkat industri dan pengguna
menjelang 2030.
Satu kajian yang pernah dikeluarkan oleh Food and
Agriculture Organisation (FAO) mendapati sepertiga iaitu bersamaan
dengan 1.3 bilion tan metrik daripada makanan yang dihasilkan di seluruh
dunia dibazirkan begitu sahaja.
Hari ini QSR Brands (M) Holdings Bhd sebagai rakan strategik inisiatif i-FB
tampil dengan projek i-FB@KFC iaitu ikhtiar menyelamatkan makanan (food
rescue) untuk disumbangkan kepada komuniti yang memerlukan.
QSR
Brands sebagai syarikat pemilik dan pengendali rangkaian restoran KFC di
Malaysia menyelaraskan usaha mengumpulkan lebihan makanan (food
surplus) yang tidak terjual dalam tempoh yang ditetapkan di restoran-
restoran KFC dan menguruskannya agar kekal bersih, selamat dan berkualiti
untuk pengagihan sebagai sumbangan.
Melalui inisiatif i-FB, projek ini akan digerakkan secara lebih sistematik
melibatkan QSR Brands, KPDN dan badan-badan bukan Kerajaan (NGO)
serta institusi yang dikenal pasti termasuk dalam mengenal pasti kumpulan
sasar penerima yang lebih meluas.
Antara peranan pihak NGO dan institusi
yang terlibat dalam projek ini adalah untuk menyimpan, mengedar atau
memproses semula produk tersebut untuk diberikan kepada golongan sasar
dalam tempoh 3 hari dari tarikh pengambilan produk dari restoran KFC.
Sebagai permulaan, sebanyak 10 restoran KFC di Sabah akan terlibat dalam
projek i-FB@KFC iaitu KFC Putatan, KFC Plaza Juta, KFC Papar, KFC
Kinarut, KFC Benoni, KFC Tuaran, KFC Sepanggar, KFC Wawasan Plaza,
KFC Emart Lintas dan KFC Bandaran KK Utara.
KPDN juga telah mengenal
pasti rakan strategik daripada 10 NGO/institusi yang akan bekerjasama
terus dengan setiap restoran KFC terlibat untuk pengurusan dan pengagihan
sumbangan makanan.
Projek i-FB@KFC akan diperluaskan melibatkan
lebih banyak restoran KFC dan rakan strategik di seluruh negara.
KPDN berharap usaha ini dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama
antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam memperluas
pelaksanaan Inisiatif i-FB.
Ini sekali gus menyemarakkan semangat
kebersamaan khususnya dalam membantu lebih ramai golongan sasar,
mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat serta menangani
isu pembaziran makanan secara berkesan.
YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup
Kota Kinabalu, Sabah
