
7 Jun 2026
Berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil perbualan ringkas bersama mangsa selepas ditemui selamat, beberapa dapatan penting telah dikenal pasti:
- Laluan jejak yang dikenal pasti oleh pasukan SAR pada peringkat awal operasi, khususnya pada 25 Mei 2026, adalah tepat.
- Lokasi Kali Terakhir Dilihat (LKP) juga adalah tepat. Mangsa memaklumkan bahawa beliau bermalam di Kem Sukaneka pada malam pertama selepas dilaporkan hilang iaitu pada 24 Mei 2026.
- Pasukan SAR pertama yang memasuki kawasan pencarian turut tiba dan bermalam di Kem Sukaneka pada malam 25 Mei 2026.
- Mangsa mengesahkan beliau telah melalui beberapa lokasi utama iaitu Gunung Rayu, Bukit Berapit 1 dan Bukit Berapit 2 sepanjang tempoh berada di dalam hutan.
- Mangsa memaklumkan pernah mengalami tempoh kira-kira tiga hari tanpa bekalan air yang mencukupi dan hanya membasahkan mulut menggunakan air embun yang ditemui di kawasan sekitar.
- Sepanjang tempoh tersebut, mangsa dipercayai banyak bergerak dan berpusing-pusing di sekitar kawasan Gunung Rayu dan Bukit Berapit sehingga gagal menemui laluan keluar.
- Mangsa menganggarkan beliau tiba di Kem MAG pada 5 Jun 2026, namun tidak dapat mengesahkan tarikh dan masa dengan tepat berikutan keadaan fizikal serta mental yang keletihan.
- Berdasarkan keterangan mangsa, kawasan beliau berada sepanjang tempoh kehilangan adalah di sekitar sektor pencarian yang telah dikenal pasti oleh pasukan SAR, khususnya kawasan Gunung Rayu hingga Bukit Berapit.
- Mangsa turut mengakui pernah terjatuh ke dalam jurang dengan anggaran ketinggian kira-kira lima meter. Kejadian tersebut dipercayai menjadi antara faktor yang menyebabkan beliau tersasar daripada laluan asal pendakian.
- Sepanjang operasi, beberapa pasukan SAR telah melaksanakan pencarian melalui laluan Pos Musoh ke Gunung Batu Putih serta dari Gunung Batu Putih menuju ke Pos Musoh bagi meliputi kawasan yang dipercayai dilalui mangsa.
- Berdasarkan maklumat yang diberikan, laluan yang dipercayai telah dilalui oleh mangsa adalah Trek Trans Beratih (Reverse), iaitu:
Gunung Batu Putih → Kem Sukaneka → Gunung Rayu → Bukit Berapit 1 → Bukit Berapit 2 → Kem MAG → Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu.
Keseluruhannya, maklumat yang diperoleh daripada mangsa menunjukkan bahawa beberapa petunjuk, sektor pencarian serta analisis pergerakan yang dibuat oleh pasukan SAR sepanjang operasi adalah bertepatan dengan laluan sebenar yang dilalui mangsa sebelum ditemui selamat pada 6 Jun 2026 di perkampungan Orang Asli Lubuk Gaharu.
