TOLAK POLITIK YANG MEMECAH-BELAHKAN RAKYAT – PMX

7 Jun 2026

Ribuan rakyat Johor bersama pimpinan serta anggota Pakatan Harapan hadir untuk menyaksikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Johor malam tadi.

Kehadiran luar biasa rakyat pelbagai bangsa dalam program yang berlangsung di Batu Pahat tersebut membuktikan bahawa PH terus diyakini pengundi dan mendapat tempat di hati mereka.

“Alhamdulillah, kehadiran luar biasa ini meskipun pelancaran digerakkan dalam tempoh yang singkat membuktikan semangat dan harapan rakyat Johor untuk melihat politik yang lebih matang, bersih dan berpaksikan masa depan terus menyala, ‘’ kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi dalam laman media sosialnya hari ini.

Dalam perkongsian itu, PMX berkata,
Johor adalah negeri yang kaya dengan potensi dan peluang.

Menurut beliau, atas usaha berterusan Kerajaan MADANI, pelaburan mengalir masuk dan projek strategik berkembang pesat.
Namun ekonomi negeri ini masih mempunyai ruang yang besar untuk melonjak lebih jauh.

Beliau berkata, Pakatan Harapan berpegang pada prinsip yang jelas. Setiap projek yang dilaksanakan mesti membawa manfaat langsung kepada rakyat. Setiap dasar harus mengangkat martabat dan memperbaiki kehidupan rakyat. Setiap wang negara mesti diurus dengan amanah dan tanggungjawab.

“Benar, dalam tempoh tiga tahun setengah ini, tidak semua masalah dapat diselesaikan. Namun satu perkara yang tidak akan kita kompromi ialah integriti.

“ Negara ini terlalu kaya untuk rakyatnya terus terbeban akibat ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin yang tamak haloba dan hanya mahu memperkaya diri dan keluarga, ‘’ jelas beliau lagi.

Jelas PMX lagi, Pilihan raya negeri ini juga adalah medan untuk rakyat menolak politik kebencian, prasangka serta perpecahan kaum dan agama. Rakyat mahukan pemimpin yang bicara soal pekerjaan, rumah mampu milik, pendidikan yang berkualiti dan kehidupan yang lebih terjamin untuk rakyat, bukannya politik yang tandus idea lalu menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai modal kempen setiap hari.

“ Apa yang saya lihat malam tadi memberi keyakinan yang besar. Orang Melayu, Cina, India berhimpun dengan satu harapan yang sama. Mereka tidak disatukan oleh kebencian atau prasangka, sebaliknya dipertemukan dengan cita-cita yang sama untuk membina negeri dan negara yang lebih adil, maju dan bermaruah.

“Dalam beberapa minggu lagi, rakyat Johor akan membuat pilihan. Gunakanlah kuasa itu dengan bijaksana. Tolak politik yang memecah-belahkan rakyat. Pilih politik yang menyatukan, membela dan membawa harapan. Pilih masa depan Johor yang lebih adil, maju dan bermaruah. Pilih Pakatan Harapan, ‘’ ujarnya lagi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *