
Wartawan JM
Foto: AFP
8 JUN 2026
Malaysia bersedia untuk menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlukan ekoran gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina awal pagi ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perkongsian di FB melahirkan kebimbangan yang amat sangat berikutan kejadian ini.
“Ingatan dan doa kami bersama rakyat Filipina di mana bersedia menghulurkan apa sahaja bantuan,” kata beliau.
Beliau berkata gegaran ini turut dirasai di beberapa bahagian di Sabah.
KERAJAAN MEMANTAU KEADAAN
“Saya memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa Kerajaan memantau keadaan dengan teliti, dan perkhidmatan kecemasan berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya,” kata beliau.
“Malaysia dan Filipina adalah rakan rapat dan rakan kongsi ASEAN dan saya berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan semua yang terjejas, mendoakan mereka diberi kekuatan dan keberanian dalam menghadapi hari-hari sukar mendatang,” tambah Perdana Menteri.
Petikan BERNAMA menyebut satu gempa bumi berukuran 7.9 magnitud
melanda Mindanao pada 7.37 pagi ini pada kedalaman 50 kilometer.
Pusat gempa terletak di latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.
Susulan gempa bumi itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami, dengan ombak setinggi sehingga 0.4 meter dijangka melanda kawasan pesisir pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara 10.30 pagi dan tengah hari ini. – JM
