MCMC ARAH TINDAKAN SEGERA TINGKATKAN KUALITI LIPUTAN
PERKHIDMATAN KOMUNIKASI DI KAMPUNG TINAGAT, TAWAU

TAWAU, 8 Jun 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) telah mengadakan lawatan ke Kampung Tinagat, Tawau baru-baru ini
susulan aduan yang diterima daripada Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Apas, YB Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan serta
penduduk setempat berhubung kualiti perkhidmatan selular yang tidak
memuaskan di kawasan berkenaan.

Lawatan tersebut turut disertai oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) Kampung Tinagat.

Dalam lawatan itu, MCMC telah menjalankan
sesi pengujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi di tiga (3)
lokasi yang dikenal pasti di kawasan tersebut bagi menilai tahap perkhidmatan
yang diterima oleh pengguna.

Hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati bahawa
dua (2) daripada tiga (3) lokasi ujian tidak memenuhi standard mandatori yang
ditetapkan oleh MCMC.

Dapatan pengujian tersebut telah dimaklumkan kepada
penyedia perkhidmatan yang terlibat pada 29 Mei 2026 lalu untuk tindakan
lanjut.

Sehubungan dengan itu, penyedia perkhidmatan yang berkenaan telah
diberikan tempoh tujuh (7) hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas
serta pelan tindakan berhubung dapatan ujian tersebut.

Notis di bawah Seksyen
51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-
mana penyedia perkhidmatan yang gagal mengemukakan maklum balas dalam
tempoh yang ditetapkan.

Dalam usaha memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan segera,
MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan yang terlibat untuk
mengambil tindakan sewajarnya di kawasan terjejas.

CelcomDigi telah diarahkan
untuk melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan liputan rangkaian serta
mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang, manakala
Maxis telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di tapak
menara telekomunikasi Kampung Tinagat.

MCMC akan terus memantau pelaksanaan tindakan penambahbaikan oleh
penyedia perkhidmatan bagi memastikan isu yang dibangkitkan dapat ditangani
dengan berkesan serta memastikan penduduk setempat menikmati
perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti.

KOMUNIKASI KORPORAT MCMC

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *