Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia akan terus dipergiat – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: Rejimen 504 Askar Wataniah
9 JUN 2026

Usaha memperkasakan martabat Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia akan terus dipergiat bagi memastikan kredibiliti angkatan ini kekal dihormati masyarakat.

Selaras dengan pelan pembangunan strategik ARMY 4NEXTG, pengukuhan Rejimen Askar Wataniah kini dipacu secara lebih agresif bagi menyokong evolusi keupayaan Tentera Darat Malaysia.

Keberkesanan fungsi ‘Augmentation’ yakni penambahan kekuatan angkatan ini bergantung sepenuhnya kepada konsistensi latihan serta pemantapan konsep Afiliasi (kerjasama bersepadu) antara Angkatan Tetap dan Angkatan Sukarela.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau perkembangan terkini Projek Pembangunan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kem Bukit Keteri baru-baru ini.

MEMANTAU KEMAJUAN PEMBINAAN

Keberangkatan baginda selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertujuan memantau kemajuan pembinaan prasarana logistik bagi memastikan kesiapsagaan kem menerima kemasukan pelatih tidak lama lagi.

Skop kerja melibatkan pembinaan blok penginapan pelatih, prasarana asas, kemudahan sokongan, tempat ibadat, serta kawasan sukan dan rekreasi.

Status pembangunan Fasa 1 Kem Bukit Keteri adalah akan siap sepenuhnya pada pertengahan bulan ini. Kem ini bakal beroperasi sebagai lokasi ketiga PLKN 3.0, selepas Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pahang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *