

GERIK, 09 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Gerik telah melaksanakan beberapa aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan di sekitar daerah Pengkalan Hulu dan Gerik bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan barang kawalan bersubsidi.
Antara operasi yang dijalankan termasuk pemeriksaan kenderaan di Kompleks ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu dengan memberi fokus kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing. Pemeriksaan melibatkan pencatatan nombor pendaftaran, jenis dan warna kenderaan ke dalam buku log yang disediakan.
Selain itu, pemantauan larangan penjualan minyak masak paket kepada warga asing turut dijalankan di premis-premis runcit. Hasil pemeriksaan mendapati tiada transaksi jual beli melibatkan warga asing dikesan sepanjang operasi berlangsung. Peniaga turut diberikan nasihat serta amaran keras agar mematuhi arahan yang ditetapkan dan mempamerkan notis larangan di lokasi yang mudah dilihat pelanggan.
KPDN Cawangan Gerik turut menjalankan pemeriksaan di beberapa stesen minyak bagi memastikan tiada penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing. Hasil pemantauan mendapati tiada sebarang transaksi melibatkan kenderaan asing berlaku.
KPDN menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Sebarang pertanyaan dan aduan bolehlah dibuat melalui:-
https://e-aduan.kpdn.gov.my
Tel : 05-794 1000 (KPDN Gerik)
Whatsapp Aduan:- 019-848 8000
