MTEN: PMX teliti pembentangan METMalaysia berhubung fenomena El Niño

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
11 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berhubung fenomena El Niño serta implikasinya terhadap negara.

Beliau berkata mesyuarat bersetuju agar METMalaysia segera memperhebat usaha penerangan dan turun ke semua negeri bagi menyampaikan taklimat serta pencerahan yang menyeluruh selain kesiapsiagaan di peringkat akar umbi mesti diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mendepani kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.

“Sewaktu pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation mengenai hala tuju syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) negara, Kerajaan berpandangan bahawa urusan perniagaan serta pengembangan industri wajar dipacu oleh kecekapan, ketangkasan dan kebijaksanaan para penggiat industri sendiri, dengan Kerajaan terus menyediakan dasar yang jelas, kondusif dan menyokong pertumbuhan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Jelas Perdana Menteri dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi dunia, ketegangan geopolitik dan pelbagai krisis global yang kian mencabar, Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh agar kepentingan rakyat terbanyak sentiasa terjaga, serta ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan dan teguh menghadapi sebarang cabaran mendatang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *