PMX rakam penghargaan kepada PM Jepun atas layanan baik semasa lawatan rasmi

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae atas sambutan mesra dan layanan amat baik sepanjang lawatan rasmi ini semasa hadir mesyuarat dua hala antara delegasi kedua-dua negara.

Beliau berkata Jepun adalah sahabat lama Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan negara sejak 1970-an.

“Dalam pertemuan ini, bicara kami menyentuh usaha memperkukuh Hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun serta meneruskan momentum kerjasama yang semakin berkembang antara kedua-dua negara,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

PELBAGAI KEPENTINGAN BERSAMA

Anwar berkata perbincangan turut menyentuh pelbagai bidang berkepentingan bersama termasuk keselamatan dan kerjasama maritim, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pembuatan termaju, mineral kritikal, transformasi hijau, ekonomi digital serta keterjaminan tenaga.

Jelas Anwar antara mereka juga bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Myanmar dan Asia Barat, di samping membincangkan hala tuju hubungan Malaysia-Jepun pada masa hadapan.

“Saya yakin persahabatan dan kepercayaan yang sekian lama terjalin akan terus membuka ruang kerjasama baharu yang membawa manfaat dan kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara,” ujar Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *