MyLesen B2 dan MyB2S Perkasa Generasi Muda Melalui Pelesenan Sah dan Budaya Keselamatan Jalan Raya

JOHOR BAHRU, 16 Jun – Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda keselamatan jalan raya dan pembangunan modal insan negara menerusi pelaksanaan Program MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah (MyB2S), yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan belia serta pelajar sekolah, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Program yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu bertujuan memperluaskan akses kepada pelesenan memandu yang sah, selamat dan berstruktur, di samping membentuk budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda.

Bagi tahun 2026, Program MyLesen B2 diperluaskan kepada 30,000 peserta di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM10.5 juta, manakala Program MyB2S melibatkan sehingga 60,000 pelajar sekolah dengan peruntukan berjumlah RM18.5 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Di Johor sahaja, seramai 8,000 peserta menerima manfaat daripada kedua-dua program tersebut menerusi peruntukan berjumlah RM2.4 juta, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai belia dan pelajar memiliki lesen memandu yang sah tanpa dibebani kekangan kewangan.

Majlis yang berlangsung di Yong Peng turut menyaksikan penyerahan Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada peserta Program MyLesen B2 yang berjaya menamatkan latihan dan lulus ujian kompeten memandu. Pada masa sama, peserta Program MyB2S menerima Lesen Belajar Memandu (LDL) sebagai langkah awal sebelum menjalani latihan amali dan ujian memandu motosikal.

Menurut statistik keselamatan jalan raya, lebih 60 peratus kematian akibat nahas jalan raya di Malaysia melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, dengan majoriti mangsa terdiri daripada golongan berusia bawah 30 tahun. Situasi ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh melalui pendidikan awal, latihan berstruktur serta pemilikan lesen memandu yang sah bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa di jalan raya.

Kerajaan yakin kerjasama strategik antara MOT, JPJ, KPM dan semua pihak berkepentingan akan terus memperkukuh keberkesanan program ini dalam melahirkan pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin, berpengetahuan dan bertanggungjawab.

Inisiatif ini juga dilihat sebagai langkah penting ke arah mewujudkan ekosistem pengangkutan yang lebih selamat, inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat serta pembangunan modal insan berkualiti.

Sumber: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), 16 Jun 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *