PM Anwar Ketuai Delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia di Kazan

PUTRAJAYA, 16 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung di Kazan, Persekutuan Rusia pada 17 hingga 18 Jun 2026, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan strategik antara ASEAN dan Rusia.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bersama pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

Sidang Kemuncak tersebut diadakan bersempena ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia, yang bermula di Kuala Lumpur pada tahun 1991. Platform berkenaan dijangka menjadi medan penting untuk menilai pencapaian kerjasama sepanjang tiga dekad lalu serta merangka hala tuju baharu hubungan ASEAN-Rusia di bawah kerangka Perkongsian Strategik.

Antara fokus utama perbincangan ialah usaha memperkukuh kerjasama praktikal dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi, pendidikan, kebudayaan, pelancongan serta hubungan rakyat dengan rakyat. Para pemimpin ASEAN dan Rusia turut dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sidang Kemuncak itu juga dijangka menerima pakai empat dokumen penting, termasuk Deklarasi Kazan, kenyataan bersama mengenai kerjasama tenaga dan kebudayaan, serta Pelan Tindakan Komprehensif ASEAN-Rusia 2026–2030 yang akan menjadi panduan utama dalam memperkukuh kerjasama kedua-dua pihak pada masa hadapan.

Penyertaan Malaysia dalam sidang tersebut mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh hubungan luar ASEAN, memajukan prinsip Kepusatan ASEAN serta memperluaskan kerjasama strategik dengan rakan dialog dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Sepanjang lawatan di Kazan, Perdana Menteri dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin, selain bertemu Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov. Beliau turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin ASEAN bagi membincangkan hubungan dua hala dan isu-isu berkepentingan bersama.

Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia 2026 dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, meningkatkan daya tahan ekonomi dan membuka ruang kepada peluang baharu yang memberi manfaat kepada negara-negara anggota ASEAN dan Rusia.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *