






Foto: YTSP Perlis
16 JUN 2026
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang keluarga, status sosial mahupun keadaan ekonomi.
Titah baginda pendidikan awal kanak-kanak, memainkan peranan sangat penting dalam melahirkan umat berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia kerana pada peringkat itulah asas pembelajaran, pembentukan sahsiah dan perkembangan potensi seseorang mula dibentuk.
“Sesungguhnya, pendidikan merupakan asas kepada pembangunan sesebuah bangsa dan negara,” titah baginda.
MAJLIS PENYAMPAIAN BIASISWA
Sebelum itu baginda semasa berkenan menyempurnakan majlis penyampaian biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” oleh Smart Reader Worldwide melalui Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi tahun ini di Dewan Serbaguna, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Datuk Sri Dr. Richard Ong serta Pengarah Eksekutifnya Datuk Kevan Ong dan Datuk Keefe Ong serta Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
KOMITMEN PELBAGAI PIHAK
Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berbesar hati terhadap komitmen pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak dapat menikmati manfaat pendidikan awal yang berkualiti.
“Usaha sedemikian, membuktikan pembangunan pendidikan menjadi tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama erat antara institusi pendidikan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Melalui kerjasama ini, saya percaya bahawa setiap usaha yang dilaksanakan demi memperluas akses kepada pendidikan awal yang berkualiti, akan memberi manfaat jangka panjang kepada negara, sekali gus melahirkan generasi yang berpengetahuan, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh,” titah baginda.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pemberian biasiswa “Seorang Anak Sebesar Harapan” bukan sekadar bantuan kewangan, malah merupakan satu pelaburan amat berharga dalam membina masa depan generasi pewaris negara. – SUMBER: BERNAMA
