


Oleh: Sholina Osman
17 JUN 2026
Program Kayuhan Santai Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2026 sempena Sambutan Hari Alumni UniMAP 2026 berjaya menghimpunkan hampir 150 peserta dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Kenyataan media UniMAP memaklumkan program kayuhan sejauh 25 kilometer itu merupakan antara pengisian utama Bazaaria Santai Alumni 2.0 yang melibatkan alumni, pelajar, staf universiti, komuniti setempat serta rakan industri.
Kayuhan tersebut telah dilepaskan oleh Pengerusi Majlis Belia Negeri (MBN) Perlis, Syahirunnisa Ramli yang juga merupakan alumni UniMAP.
Program berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk ZAHA BINA Sdn Bhd, RHB Bank, Ayam Gepuk Sultan, Mixue Perlis, Ras Citra Enterprise, Perlis Sunday Social Ride (PSSR) dan Majlis Belia Negeri Perlis.
Selepas selesai kayuhan, program diteruskan dengan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Alumni UniMAP 2026 yang disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
SEBAGAI SIMBOLIK HUBUNGAN
Majlis pelancaran diserikan dengan pelepasan belon sebagai simbolik hubungan alumni UniMAP yang sentiasa berkembang, terus berhubung dan mampu melangkah lebih jauh dalam bidang profesional masing-masing tanpa melupakan alma mater tercinta.
Dalam ucapannya, Zaliman berkata UniMAP sehingga kini telah melahirkan seramai 41,788 alumni yang berkhidmat dalam pelbagai sektor serta terus membawa nama baik universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Program seperti ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan antara alumni dan universiti, di samping menyemarakkan semangat alumni untuk terus menyumbang kepada pembangunan UniMAP.
“Kita amat berbangga apabila Program Kayuhan Santai Alumni pada pagi ini berjaya menghimpunkan hampir 150 peserta yang terdiri daripada alumni, pelajar dan komuniti setempat dari seluruh wilayah utara,” katanya.
PELBAGAI INISIATIF ALUMNI
Beliau berkata UniMAP akan terus memperkasakan pelbagai inisiatif alumni termasuk penganjuran Alumni Leadership Summit 2026, Perhimpunan Alumni Industri UniMAP serta Kempen Tabung Wakaf Alumni UniMAP.
Menurut beliau, alumni juga digalakkan untuk memanfaatkan aplikasi MyAlumni UniMAP yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store sebagai medium untuk terus berhubung dengan universiti dan komuniti alumni.
“UniMAP juga sedang menggerakkan pembangunan Rumah Capsule Alumni UniMAP yang bakal menjadi pusat pertemuan, penginapan dan aktiviti alumni pada masa hadapan.
“Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi simbol kebersamaan dan kebanggaan seluruh alumni UniMAP,” katanya.
BERJAYA MENERIMA SUMBANGAN
Sementara itu, Kempen Tabung Wakaf Alumni UniMAP yang dilaksanakan sepanjang program berjaya menerima sumbangan berjumlah RM1,400 daripada peserta Kayuhan Santai Alumni UniMAP 2026.
Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UniMAP, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Nur Khairul Hafizi Rohani berkata program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara alumni dan universiti, malah menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan agenda pembangunan alumni yang sedang dan akan dilaksanakan oleh UniMAP.
“Pusat Perhubungan Alumni UniMAP turut merakamkan penghargaan kepada PSSR atas bantuan teknikal dan penyelarasan kayuhan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu memastikan kelancaran dan keselamatan peserta sepanjang program berlangsung.
KERJASAMA KALI KEDUA
“Penganjuran kali ini merupakan kerjasama kali kedua antara Pusat Perhubungan Alumni UniMAP, Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Teknologi Kejuruteraan (MPP FKTM) dan Majlis Belia Negeri Perlis,” katanya.
Untuk rekod, Hari Alumni UniMAP disambut pada 18 Julai setiap tahun sebagai penghargaan kepada seluruh alumni yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan universiti sejak penubuhannya.
Program ini membuktikan komitmen berterusan UniMAP dalam memperkukuhkan hubungan bersama alumni serta menggalakkan penglibatan alumni dalam menyokong agenda pembangunan universiti dan masyarakat. – JM
