Puteri kedua Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis tamatkan Kursus APMS Tentera Darat

Oleh: Sholina Osman
Foto : Istana Arau
21 JUN 2026

Anakanda Puteri kedua Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail telah mengambil bahagian dan berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia yang berlangsung dari 7 hingga 20 Jun 2026 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Majlis Perbarisan Penutup Kursus Asas tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Padang Boulevard, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat sama adalah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

GRADUAN IJAZAH SARJANA

Hajah Sharifah Farah Adriana, 25 tahun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Bachelor of Business – Management) dari Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT) University, Melbourne, Australia, dan peringkat Sarjana pula (Masters Of International Business) dari Monash University Malaysia.

Keberhasilan Hajah Sharifah Farah Adriana menuntaskan Kursus APMS ini membuktikan secara nyata bahawa benteng pertahanan negara adalah amanah bersama.

Penglibatan institusi diraja ini mempertegas mesej bahawa semangat kecintaan terhadap watan harus dipupuk murni merentasi seluruh strata sosial masyarakat.

REJIMEN ASKAR WATANIAH

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa Rejimen Askar Wataniah akan terus mengekalkan peranan tugas iaitu ‘To Raise, Train And Maintain’ anggotanya.

Di dalam konsep mobilisasi, ‘Raise’ bukan sekadar menambah bilangan tetapi memastikan sumber manusia yang tepat bersedia untuk diserap.

‘Train’ menuntut kualiti latihan yang membolehkan mereka beroperasi secara integrasi dengan Angkatan Tetap.

Manakala ‘Maintain’ pula adalah bagi memastikan kesediaan mereka sentiasa terpelihara bagi tujuan ‘Augmentation’ pada bila/bila masa.

KEKUATAN TENTERA DARAT

Tambah Tuanku Raja Muda, usaha ini adalah kunci utama kepada kekuatan Tentera Darat dalam menghadapi sebarang cabaran keselamatan.

Oleh itu, dalam usaha memperkasakan lagi Askar Wataniah, usaha promosi akan terus dipergiat dan dipantau secara berterusan untuk menarik lebih banyak penyertaan daripada golongan muda yang sihat tubuh badan serta memenuhi semua keperluan minima yang ditetapkan untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Hadir sama di majlis penutupan yang disekalikan dengan Majlis Pelancaran Kokurikulum Askar Wataniah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu ialah Naib Canselor, Leftenan Kolonel Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli, Asisten Ketua Staf (AKS) Bahagian Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad, Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Haji Hashim, dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *