Perlis perlu agresif menukar status hanya ‘negeri transit’ kepada warga Thai – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
Foto: YTSP Perlis
24 JUN 2026

Perlis perlu bertindak agresif bagi menukar statusnya daripada sekadar ‘negeri transit’ kepada destinasi pelancongan baru buat warga Thailand khususnya dari selatan negara jiran tersebut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semua pihak perlu bekerjasama melaksanakan tiga strategi utama bagi memastikan pelancong asing bermalam dan berbelanja di negeri ini:

Antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah menggabungkan pengangkutan kereta api (SRT/ETS), van sempadan, dan pengangkutan domestik Perlis dalam satu tiket, memudahkan dan melancarkan pergerakan pelancong dari pintu sempadan Padang Besar serta Wang Kelian, dan melaksanakan kolaborasi antara para pemain industri Perlis dengan agensi-agensi pelancongan selatan Thailand seperti Hat Yai, Songkhla dan Satun dengan menyediakan pakej-pakej khas yang mewajibkan pelancong bermalam di Perlis sebelum ke mana-mana destinasi lain.

SEBAGAI MEDIUM TARIKAN

Selain daripada itu, sukan wajar digunakan sebagai medium tarikan massa tanpa kekangan bahasa. Penganjuran acara tahunan seperti Perlis-Thailand International Marathon, kayuhan basikal rentas sempadan, serta sukan lasak (motocross/trail run) di kawasan berbukit yang menarik di sempadan antara yang boleh diadakan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Restoran Kaitod Decha Fried Chicken, Thanon Patthana Chonabot 3, Khwaeng Khlong Song Ton Nun, Lat Krabang, Bangkok, Thailand.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda-anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

TETAMU DIRAJA PERLIS

Menyambut keberangkatan tetamu diraja Perlis sekeluarga itu ialah pemilik restoran, Arita Laetee
dan suami beliau, Wongsakorn Kaewloy.

Restoran Muslim Halal ini adalah cawangan kepada Kumpulan Restoran Bang Loh Kai Tod Decha di Hat Yai.

Turut mengiring adalah Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan isteri, Datin Zuhaila Abd Latif, isteri kepada Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs Bagi Thailand, Datin Nuranee Pitisathepan, serta Setiausaha Pertama di Kedutaan Besar Malaysia Bangkok, Azri Hazwani Abdul Aziz.

Promosi anjuran restoran tersebut dengan kerjasama pihak Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan juga Mizza’s Kitchen Gial seperti biasa menampilkan hidangan Kurma Daging Perlis.

Masakan berasaskan rempah ratus yang terkenal dengan kelembutan daging serta kuahnya yang pekat dan beraroma, menjadikannya antara sajian istimewa yang sering dihidangkan dalam majlis-majlis keraian masyarakat di negeri itu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *