KPDN PERKASA PENGGUNA MELALUI PENDIDIKAN KEPENGGUNAAN DAN INTERVENSI KOS SARA HIDUP

MELAKA, 28 Jun 2026 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh agenda pendidikan kepenggunaan menerusi pelbagai program advokasi, kerjasama dengan institusi pendidikan, pertubuhan pengguna dan komuniti setempat bagi melahirkan pengguna yang lebih celik, beretika serta berupaya membuat keputusan pembelian secara bijak.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, pendidikan kepenggunaan kini menjadi keperluan penting dalam menghadapi cabaran ekonomi digital yang semakin kompleks, termasuk perubahan harga, peningkatan transaksi e-dagang, penipuan dalam talian serta manipulasi maklumat.

Bagi tahun 2025, KPDN merekodkan 46,247 aduan pengguna, termasuk 8,475 aduan berkaitan transaksi dalam talian. Sehingga 27 Jun 2026, sebanyak 28,419 aduan diterima dengan 5,588 daripadanya melibatkan urus niaga dalam talian. Statistik tersebut menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh kesedaran pengguna terhadap hak, tanggungjawab dan keselamatan dalam urus niaga digital.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan pendidikan kepenggunaan, KPDN turut melancarkan Buku Pengembaraan Kippy Bersama Pengguna Cilik sempena Program Mini Karnival KPDN Melaka: RAHMAH MADANI 2026. Inisiatif ini bertujuan memupuk kesedaran kepenggunaan sejak usia muda agar generasi akan datang lebih memahami hak sebagai pengguna serta mengamalkan perbelanjaan yang berhemah.

Program tersebut selaras dengan Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0, khususnya dalam memperkukuh penyertaan rakyat serta membudayakan pendidikan nilai kepenggunaan melalui pendekatan “Kita Pengguna, Suara Kita, Kuasa Kita”.

Sepanjang 2025, sebanyak 173 program kepenggunaan telah dilaksanakan di seluruh Melaka, manakala sehingga Mei 2026, sebanyak 70 program lagi berjaya dianjurkan melibatkan pelajar sekolah, mahasiswa, komuniti setempat, pertubuhan pengguna dan sektor swasta. Selain itu, KPDN turut memperkukuh jaringan kerjasama bersama institusi pengajian tinggi, Gerakan Pengguna Siswa, Penggerak Komuniti Pengguna serta 77 Kelab Pengguna Sekolah di seluruh negeri.

Dalam perkembangan sama, Mini Karnival KPDN Melaka: RAHMAH MADANI 2026 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2026 di Dataran Klebang menghimpunkan pelbagai inisiatif kementerian termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus daripada harga pasaran. Karnival itu turut mengetengahkan Kempen #JomBeliProdukMalaysia bagi menggalakkan pembelian produk tempatan serta menyokong pertumbuhan perusahaan domestik.

Sehingga hari kedua penganjuran, program berkenaan telah menerima kira-kira 10,000 pengunjung dengan nilai transaksi jualan mencecah RM1.3 juta. KPDN Melaka menjangkakan jumlah pengunjung meningkat kepada 20,000 orang dengan nilai transaksi keseluruhan sekitar RM3 juta pada hari terakhir penganjuran, melibatkan lebih 200 Stock Keeping Unit (SKU) untuk pilihan pengguna.

Menurut Dr. Fuziah, sambutan menggalakkan terhadap program tersebut membuktikan bahawa pelbagai inisiatif KPDN bukan sahaja membantu memperkasakan pengguna, malah turut merangsang aktiviti ekonomi tempatan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *