





Putrajaya, 2 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong penuh usaha Kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan agenda integriti, tadbir urus dan antirasuah menerusi pelbagai inisiatif strategik ke arah melahirkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Abd Halim Aman berkata, SPRM sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang komited dalam memperkukuhkan integriti dan tadbir urus.
“Usaha yang digerakkan oleh Kerajaan Sarawak ini merupakan satu inisiatif yang amat baik dan wajar diberikan sokongan sepenuhnya demi merealisasikan aspirasi negara bebas rasuah,” katanya ketika menerima kunjungan hormat delegasi Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, delegasi UNIONS diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Datuk Dr. Juanda Jaya.
Datuk Dr. Juanda turut memanjangkan jemputan kepada Dato’ Sri Abd Halim untuk menyertai Persidangan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) sebagai ahli panel pada 11 dan 12 Ogos depan serta menghadiri Hari Integriti Sarawak 2026 sebagai tetamu khas.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama strategik serta hala tuju antara SPRM dan UNIONS dalam memperkukuhkan agenda integriti, tadbir urus serta pencegahan rasuah.
Sementara itu, Datuk Dr. Juanda berkata Kerajaan Sarawak tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah dan akan menyerahkan kepada SPRM untuk tindakan siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah rasuah di negeri itu.
“Sekiranya terdapat unsur jenayah rasuah di Sarawak, perkara ini akan terus diserahkan kepada SPRM untuk siasatan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak memandang serius isu rasuah sebagai usaha memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berteraskan integriti dan tadbir urus baik.
Menurutnya, sehingga kini seramai 210 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) telah ditempatkan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Sarawak bagi memperkukuhkan pembudayaan integriti dalam perkhidmatan awam negeri.
Turut hadir Pengarah SPRM Sarawak, Dato Hasbilah Mohamad Salleh; Pengarah UNIONS, Wan Mohamad Wan Drahman; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pematuhan UNIONS, Saripah Aziah Wan Yon serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Integriti dan Governans UNIONS, Wan Hipni Wan Mohamad.
