


.
๐๐๐ก๐ง๐จ๐๐จ, ๐ฒ ๐๐๐น๐ฎ๐ถ โ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda bersama sebuah tongkang yang disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (Merchant Shipping Ordinance – MSO 1952) dalam operasi penguatkuasaan di perairan Bintulu petang semalam.
Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata penahanan tersebut dilakukan kira-kira pukul 3 petang menerusi Op Tiris 4.0, Op Permai 01/2019 dan Op Pukat ketika rondaan penguatkuasaan rutin di kawasan perairan berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot tunda dan tongkang tersebut disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, termasuk gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada Pegawai Pelabuhan mengikut Seksyen 22(2A), gagal mengemukakan dokumen kestabilan kapal (Stability Document) sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 276(1), serta gagal mengemukakan lesen pelayaran domestik (Domestic Shipping Licence – DSL) yang sah mengikut Peraturan 19, Domestic Shipping Licensing Board Regulations 1981.
Siasatan awal turut mendapati bot tunda bersama tongkang tersebut dikendalikan oleh sembilan kru yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia termasuk nakhoda serta dua warga India.
Katanya, bot tunda bersama tongkang tersebut telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tindakan perundangan boleh dikenakan mengikut peruntukan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Domestic Shipping Licensing Board Regulations 1981, termasuk denda, kompaun atau hukuman lain bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.
Tindakan penguatkuasaan itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan semua vesel yang beroperasi di perairan negara mematuhi undang-undang maritim serta piawaian keselamatan pelayaran.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan pelayaran, keselamatan perairan serta kedaulatan maritim negara.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi keperluan dokumentasi, pelesenan dan prosedur keselamatan ketika beroperasi di laut bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.
.
