
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kerajaan terus memperkukuh agenda reformasi sistem penjagaan kesihatan swasta apabila Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) mengumumkan pelaksanaan program rintis MediAsas, pelan perlindungan insurans dan takaful perubatan yang lebih mampu milik untuk rakyat Malaysia.
Program rintis yang akan bermula akhir Julai hingga Oktober 2026 di Lembah Klang itu menjadi persediaan sebelum pelaksanaan penuh di seluruh negara pada Januari 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, MediAsas merupakan asas penting kepada reformasi pembiayaan kesihatan negara dengan matlamat menyediakan perlindungan perubatan yang lebih mampan serta mampu dimiliki oleh lebih ramai rakyat Malaysia.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, MediAsas akan disokong oleh pelbagai langkah pembendungan kos termasuk pelaksanaan sistem Diagnosis-Related Groups (DRG) di hospital swasta secara berperingkat bagi memastikan kos rawatan lebih terkawal serta menggalakkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
Pelan MediAsas akan ditawarkan dalam dua pilihan iaitu MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi, dengan perlindungan sehingga umur 85 tahun. Sebuah Lembaga Tadbir Urus Bebas turut akan diwujudkan bagi memantau pelaksanaan program dan melindungi kepentingan pengguna.
Selain MediAsas, JBMKKS turut memperkenalkan beberapa inisiatif utama di bawah kerangka RESET, termasuk mempercepat penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) menerusi Rangkaian Persijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN), memodenkan proses pelesenan fasiliti kesihatan swasta di bawah Akta 586 serta meningkatkan ketelusan bil hospital melalui kerjasama dengan hospital swasta, syarikat insurans dan pengendali takaful.
Enam syarikat insurans dan pengendali takaful akan menyertai program rintis MediAsas. Premium secara indikatif dianggarkan antara RM60 hingga RM550 sebulan, bergantung kepada umur dan pengalaman tuntutan, manakala kadar muktamad akan diumumkan sebelum pelancaran nasional pada 2027.
Sorotan Berita: Jendela Madani
