PRN JOHOR: 94.49 Peratus Pengundi Awal Selesai Menunaikan Tanggungjawab

7 Julai 2026

JOHOR BAHRU – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 hari ini berjalan lancar dengan 94.49 peratus, bersamaan 19,471 pengundi awal, berjaya menunaikan tanggungjawab mereka bermula seawal jam 8.00 pagi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi awal terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasangan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Sebanyak 62 pusat mengundi awal dibuka di seluruh Johor dengan waktu penutupan mengikut jadual iaitu 29 pusat pada jam 12.00 tengah hari, lima pusat pada jam 2.00 petang, dan 28 pusat pada jam 5.00 petang. Daripada jumlah keseluruhan pengundi awal yang mengundi, 7,960 merupakan anggota ATM dan pasangan, manakala 11,511 lagi ialah anggota PDRM serta pasangan PGA.

SPR turut merakamkan penghargaan kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya, petugas pilihan raya, PDRM, ATM, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, petugas media dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama bagi memastikan proses pengundian awal berlangsung dengan teratur dan lancar.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Datuk Khairul Shahril Idrus, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, bertarikh 7 Julai 2026.

Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *