TERKINI : SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA

10 Julai 2026

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa
terdapat peningkatan kes demam denggi di beberapa kawasan di
negara ini.

KKM sedang memantau situasi ini dengan teliti dan terus
memperkukuh pelbagai langkah pencegahan serta kawalan bagi
mengurangkan penularan penyakit.

Sehingga 9 Julai 2026, sebanyak 42,848 kes demam denggi telah
dilaporkan iaitu peningkatan kes sebanyak 34.8 peratus berbanding
31,790 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2025.

Dalam tempoh
yang sama, sebanyak 34 kematian akibat demam denggi telah
direkodkan berbanding 19 kematian pada tahun lalu, iaitu peningkatan
sebanyak 78.9 peratus.
Analisis epidemiologi menunjukkan bahawa hampir dua pertiga (63.5%)
daripada keseluruhan kes demam denggi di Malaysia tertumpu di
Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selangor merekodkan 19,313 kes, meningkat 43.2 peratus berbanding
tempoh yang sama tahun lalu, manakala Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur dan Putrajaya merekodkan 7,909 kes, meningkat 83.8 peratus.

Peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan,
Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa Lembah Klang kekal sebagai
kawasan tumpuan utama penularan demam denggi dan memerlukan
pelaksanaan langkah kawalan yang lebih intensif serta bersepadu.

Walaupun beberapa negeri menunjukkan penurunan kes berbanding
tempoh yang sama pada tahun lalu, keadaan ini tidak seharusnya
menimbulkan rasa selesa.

Semua negeri perlu terus memperkukuh dan
mengekalkan langkah pencegahan serta kawalan secara konsisten
kerana situasi demam denggi boleh berubah dengan cepat bergantung
kepada faktor epidemiologi, persekitaran, dan cuaca.

Peningkatan kes demam denggi ini adalah selaras dengan pola
epidemiologi penyakit ini yang lazimnya bersifat berkitar (cyclical
pattern).

Di kebanyakan negara endemik, peningkatan kes atau wabak
besar boleh berlaku setiap tiga hingga lima tahun.

Namun demikian,
tempoh penularan dan magnitud wabak berbeza mengikut keadaan
epidemiologi, persekitaran, dan iklim setempat.

Peningkatan berkala kes demam denggi dipengaruhi oleh beberapa
faktor termasuk perubahan tahap imuniti penduduk dari semasa ke
semasa, peralihan dominasi serotaip virus denggi, keadaan cuaca
seperti hujan, suhu, dan kelembapan yang menyokong pembiakan serta
kelangsungan hidup nyamuk Aedes.

Faktor lain termasuk kepesatan
urbanisasi, pergerakan penduduk, keadaan persekitaran, dan
kewujudan bekas menakung air serta keberkesanan, liputan, dan
kelestarian aktiviti kawalan vektor dan penglibatan aktif masyarakat
dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

KKM akan terus memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan demam
denggi melalui pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach)
berasaskan prinsip Pengurusan Vektor Bersepadu (Integrated Vector
Management, IVM) yang melibatkan pengukuhan survelan penyakit dan
entomologi, pengesanan awal peningkatan kes dan wabak, kawalan
vektor, komunikasi risiko, pemerkasaan komuniti dan penguatkuasaan
perundangan serta pemantauan berterusan terhadap keberkesanan
intervensi.

KKM menyeru semua pihak termasuk komuniti, pihak berkuasa
tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, majikan, sektor swasta,
dan orang ramai untuk bersama-sama memperkukuh usaha
pencegahan denggi dengan memastikan persekitaran sentiasa bebas
daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes, melaksanakan aktiviti
pembersihan secara berkala serta mendapatkan pemeriksaan awal
sekiranya mengalami gejala demam denggi.

KKM akan terus memantau situasi demam denggi secara rapi dan
mempergiatkan langkah pencegahan serta kawalan bagi mengurangkan
penularan penyakit, mencegah komplikasi dan kematian, serta
melindungi kesihatan rakyat.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
10 JULAI 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *