



CYBERJAYA, 13 Julai 2026 – Lebih 1,000 peserta dari seluruh ASEAN telah menyertai ASEAN GeoAI Fusion 2026, sekali gus mencerminkan momentum serantau yang semakin berkembang dalam memanfaatkan Kecerdasan Buatan Geospatial (GeoAI) bagi menangani cabaran dunia sebenar dan mempercepat transformasi digital.
Diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), inisiatif ini berfungsi sebagai platform serantau untuk memperkukuh bakat digital, memupuk inovasi serta mempererat kerjasama dalam membina ASEAN yang lebih terhubung, berdaya tahan dan inklusif secara digital.
Program ini menghimpunkan peserta, pengamal industri, penyelidik dan pakar teknikal dari seluruh rantau untuk meneroka bagaimana GeoAI boleh diaplikasikan bagi meningkatkan kesalinghubungan, memperkukuh infrastruktur digital dan menyokong proses membuat keputusan berasaskan bukti.
Program ini turut menyediakan peluang untuk pertukaran pengetahuan rentas sempadan dan kerjasama bagi mempercepat penerimagunaan teknologi digital baharu di seluruh ASEAN.
GeoAI mengintegrasikan kecerdasan buatan dengan data geospatial dan data berasaskan lokasi untuk menghasilkan maklumat yang boleh diterjemahkan kepada tindakan bagi tujuan perancangan dan pembuatan keputusan yang lebih pintar.
Aplikasinya merangkumi pengoptimuman rangkaian telekomunikasi, perancangan infrastruktur, kesiapsiagaan menghadapi bencana, pemantauan alam sekitar serta peluasan kesalinghubungan digital kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
Penyertaan serantau yang kukuh menunjukkan peningkatan pengiktirafan terhadap GeoAI sebagai pemacu penting kepada inovasi dan pembangunan digital mampan.
Sebagai sebahagian daripada program ini, para peserta telah berjaya menamatkan Bootcamp 1 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Julai 2026 dengan tema “Geospatial Intelligence for a Connected ASEAN” (Kecerdasan Geospatial untuk ASEAN yang Terhubung).
Melalui sesi yang dikendalikan pakar, pembelajaran secara praktikal dan kajian kes serantau, para peserta meneroka aplikasi praktikal GeoAI dalam memperkukuh perancangan telekomunikasi, menyokong penggubalan dasar berasaskan data dan memajukan keterangkuman digital.
Mereka turut mula membangunkan penyelesaian inovatif untuk meningkatkan kesalinghubungan, memperkukuh daya tahan terhadap bencana serta mengoptimumkan perancangan infrastruktur di seluruh rantau.
Perjalanan pembelajaran akan diteruskan menerusi Bootcamp 2, yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 23 Julai 2026. Para peserta akan terus memperkukuh keupayaan teknikal, memperhalusi penyelesaian praktikal GeoAI dan membuat persediaan untuk fasa hackathon program.
Hackathon seterusnya akan memberi peluang kepada peserta untuk menterjemahkan idea kepada penyelesaian inovatif yang menangani cabaran dunia sebenar yang dihadapi komuniti di seluruh ASEAN.
ASEAN GeoAI Fusion 2026 mencerminkan komitmen MCMC dalam memajukan kerjasama digital serantau serta membangunkan bakat masa hadapan yang berupaya memanfaatkan teknologi baharu untuk menghasilkan impak bermakna.
Dengan menghimpunkan kerajaan, ahli akademik, industri dan komuniti inovasi, inisiatif ini menyokong aspirasi bersama ASEAN untuk membina rantau yang terhubung secara digital, berdaya tahan dan inklusif, di samping memperkukuh peranan GeoAI dalam membentuk masa depan pembangunan digital.
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC
