KDN KOMITED MEMPERKUKUH TADBIR URUS DAN PENAMBAHBAIKAN BERTERUSAN DALAM PENGURUSAN PERMOHONAN KEWARGANEGARAAN

PUTRAJAYA, 12 JULAI 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN)
mengambil maklum laporan Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan (EAIC) berhubung syor penambahbaikan terhadap
proses pengurusan permohonan kewarganegaraan secara
penaturalisasian.

KDN sentiasa menghormati fungsi semak dan imbang
institusi yang diwujudkan di bawah undang-undang serta akan meneliti
setiap syor yang dikemukakan bagi tujuan memperkukuh sistem
penyampaian perkhidmatan awam dan tadbir urus kementerian.

Permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan
Persekutuan merupakan suatu proses yang diperuntukkan oleh undang-
undang dan dilaksanakan melalui penelitian menyeluruh terhadap setiap
permohonan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang
berkaitan serta kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.

Dalam
melaksanakan tanggungjawab tersebut, KDN turut mendapatkan
penelitian serta semakan daripada pelbagai agensi berkaitan mengikut
bidang kuasa masing-masing sebelum sesuatu permohonan
dipertimbangkan.

Sehubungan itu, KDN akan meneliti dapatan serta syor yang
dikemukakan oleh EAIC bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia
(JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti ruang
penambahbaikan yang bersesuaian.

Antaranya melibatkan aspek
pengukuhan prosedur operasi standard (SOP), dokumentasi,
penyelarasan proses kerja serta mekanisme tadbir urus yang selaras
dengan amalan terbaik perkhidmatan awam.

Latihan berterusan juga
akan diberi kepada pegawai dan kakitangan yang terlibat agar sentiasa
mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan berkemahiran tinggi.

Pada masa yang sama, KDN ingin menegaskan bahawa kuasa
pertimbangan permohonan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada
peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan dilaksanakan secara
berhati-hati dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk
kepentingan awam, keselamatan negara serta fakta bagi setiap kes.

KDN juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana
agensi yang mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut
sekiranya terdapat perkara yang memerlukan tindakan menurut undang-
undang.

Kementerian kekal komited untuk terus memperkukuh integriti,
ketelusan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan demi memastikan
setiap urusan berkaitan kewarganegaraan dilaksanakan secara
profesional, berakauntabiliti dan selaras dengan prinsip Malaysia
MADANI.

Kementerian Dalam Negeri
12 Julai 2026
— TAMAT —

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *