
HONG KONG, 13 Julai – Kebanyakan pasaran saham Asia ditutup rendah pada Isnin apabila sentimen pelabur terjejas susulan ketegangan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, selain jualan besar-besaran saham syarikat pengeluar cip di Korea Selatan.
Indeks penanda aras Kospi Korea Selatan menjunam apabila saham pengeluar cip utama, SK hynix, merosot lebih 15 peratus, sekali gus melanjutkan penyusutan hampir 40 peratus sejak mencatat paras tertinggi bulan lalu.
Saham Samsung Electronics turut susut lebih 10 peratus pada penutupan dagangan.
Pengarah Penyelidikan XTB, Kathleen Brooks, berkata pasaran Korea Selatan kini dianggap sebagai petunjuk utama sentimen terhadap industri cip global, justeru sebarang kejatuhan berpotensi memberi kesan kepada pasaran lain
Di Jepun, saham syarikat teknologi seperti Advantest dan Tokyo Electron turut mencatatkan penurunan.
Pasaran saham di Shanghai, Singapura, Wellington, Mumbai dan Jakarta juga ditutup rendah, manakala Hong Kong, Taipei dan Bangkok mencatatkan kenaikan.
Ketua Strategi Pelaburan Wealth Club, Susannah Streeter, berkata kenaikan harga minyak dijangka meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi dan kemungkinan kadar faedah kekal tinggi lebih lama.
Menurutnya, keadaan itu turut memberi kesan kepada pasaran bon apabila hasil bon kerajaan Britain dan Amerika Syarikat meningkat.
Pelabur kini mengalihkan perhatian kepada musim laporan pendapatan korporat yang dijangka memberi petunjuk baharu mengenai prospek industri kecerdasan buatan (AI).
Minggu ini menyaksikan syarikat Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan ASML dari Belanda dijadual mengumumkan prestasi kewangan masing-masing, selain beberapa bank utama Wall Street termasuk JPMorgan Chase, Bank of America dan Goldman Sachs.
Sumber – RTM
Sorotan : Berita Jendela Madani
