Kerajaan Berjaya Tingkat Penggunaan Tenaga Boleh Baharu Kepada 31 peratus – PM Anwar

Perdana Menteri berkata, sehingga Disember lalu, kerajaan telah berjaya meningkatkan kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara kepada 31 peratus.

Langkah itu, katanya selaras dengan usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada arang batu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, usaha itu diperkukuh melalui kejayaan Skim CRESS yang kini dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

Dalam sektor pengangkutan pula, jelas Perdana Menteri, pelaksanaan Biodiesel B15 mampu memacu negara ke arah penggunaan bahan api alternatif yang lebih mampan.

“Ia seterusnya akan diperkukuh dengan hab biobahan api PETRONAS di Pengerang,” tambahnya.

Anwar mencatatkan semua perkembangan positif untuk negara ini di laman Facebooknya selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Negara bagi memastikan agenda peralihan tenaga negara terus dilaksanakan secara tersusun dan berimpak berdasarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Seterusnya, Perdana Menteri juga berkata, projek elektrifikasi pengangkutan awam berjalan mengikut perancangan, termasuk pengoperasian 250 bas elektrik serta liputan 800 kilometer rangkaian rel.

“Di Sarawak, Fasa 1 pembangunan hab hidrogen bagi Transit Aliran Automatik (ART) dijadual siap hujung tahun ini.

“Tatkala ketidaktentuan geopolitik dan krisis bekalan terus mencengkam dunia, Malaysia mesti bersiap siaga untuk menjamin keterjaminan tenaga dalam jangka panjang,” katanya.

Justeru, kata Anwar lagi, kerajaan akan turut mengkaji keperluan serta strategi untuk mewujudkan stok simpanan petroleum negara sebagai langkah memperkukuh daya tahan negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *