IRC 2026 Bincang Potensi Teknologi Kuantum, Cabaran Keselamatan Siber – MCMC

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal memberi tumpuan kepada potensi teknologi kuantum, khususnya aplikasi dalam sektor komunikasi di Malaysia serta cabaran keselamatan siber yang dijangka timbul susulan perkembangan teknologi tersebut.

Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) MCMC, Eneng Faridah Iskandar, berkata persidangan itu akan meneroka masa depan teknologi kuantum, manfaatnya kepada negara serta bentuk aplikasi yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor, khususnya komunikasi.

Menurut beliau, walaupun teknologi kuantum masih di peringkat awal di Malaysia dan lebih banyak diterokai dalam kalangan ahli akademik, beberapa negara telah mula memanfaatkan keupayaannya bagi mempercepat inovasi industri melalui gabungan teknologi kuantum dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, antara fokus utama IRC 2026 ialah membincangkan risiko keselamatan yang berkaitan dengan teknologi kuantum, termasuk keupayaannya memecahkan sistem penyulitan sedia ada, sekali gus menuntut pendekatan baharu dalam aspek keselamatan siber.

“Teknologi kuantum mempunyai keupayaan yang amat tinggi sehingga berpotensi menyahsulit kaedah penyulitan yang digunakan ketika ini. Justeru, persediaan awal amat penting bagi memastikan ekosistem komunikasi negara kekal selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Eneng Faridah turut memaklumkan bahawa sesi khas mengenai teknologi kuantum akan melibatkan penyertaan ahli akademik, wakil industri termasuk IBM serta wakil institusi pengajian tinggi bagi membincangkan potensi teknologi berkenaan, cabaran pelaksanaannya dan hala tuju Malaysia.

Beliau berkata, persidangan itu turut menekankan konsep “keselamatan melalui reka bentuk” (security by design), selain menggalakkan penglibatan masyarakat, pemain industri dan badan berkepentingan pada peringkat awal bagi memastikan pembangunan teknologi baharu mengambil kira aspek keselamatan, keterangkuman serta kepentingan awam.

Menurutnya, IRC membantu badan kawal selia menjangka risiko teknologi baharu lebih awal, mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak dan merangka dasar yang bersesuaian sebelum sesuatu teknologi digunakan secara meluas.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan sedemikian telah dilaksanakan sebelum penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, membuktikan penyelidikan dan libat urus dilaksanakan lebih awal sebelum sesuatu dasar diperkenalkan.

IRC 2026 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 21 hingga 22 Julai dengan tema “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust”, menghimpunkan pembuat dasar, badan kawal selia, pemain industri serta ahli akademik bagi membincangkan masa depan ekosistem digital dan teknologi baharu.

Sumber: Bernama
Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *