




18 Julai 2026
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kemajuan teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkasa penyampaian maklumat dalam dunia kewartawanan.
Namun, katanya, teknologi yang sama tidak boleh menghakis nilai kemanusiaan, kewarasan pertimbangan serta disiplin semakan yang menjadi asas profesion kewartawanan.
Dalam masa yang sama, tambah Perdana Menteri, cabaran era kecerdasan buatan (AI) dan ledakan maklumat tanpa sempadan, makin meletakkan kewartawanan yang berteraskan fakta, integriti dan tanggungjawab menjadi semakin mustahak.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Malam Wartawan Malaysia MPI 2026 di ibu negara.
Majlis makan malam itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh pengamal media yang saban hari menggalas amanah menyampaikan maklumat yang benar dan bermanfaat kepada rakyat.
Anwar berkongsi intipati ucapannya itu di laman Facebooknya.
Seterusnya, beliay berkata, media yang bebas dan bertanggungjawab mempunyai peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat, memperkukuh demokrasi serta menyuburkan budaya ilmu dan wacana yang sihat.
“Teruslah menjadi suara kebenaran, mempertahankan etika dan menggalas amanah ini dengan berani demi kepentingan rakyat serta masa depan negara,” pesannya kepada komuniti kewartanan di negara ini.
Dalam masa yang sama, Anwar juga mengucapkan tahniah kepada Sinar Harian atas kejayaan meraih Anugerah Kajai, anugerah kewartawanan tertinggi negara bagi tahun ini.
