
23 Julai 2026
Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa kini semakin licik memperdaya orang awam untuk dijadikan “keldai dadah” melalui tawaran peluang pekerjaan palsu, pakej percutian percuma dan ganjaran kewangan lumayan. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kekal menjadi antara laluan utama yang digunakan sindiket untuk menyeludup dadah merentasi sempadan negara. Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus memperkukuh usaha pencegahan, risikan dan penguatkuasaan bagi melindungi keselamatan negara serta memastikan rakyat tidak menjadi mangsa eksploitasi sindiket.
“KDN akan terus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dan kerjasama strategik bersama agensi dalam serta luar negara bagi memutuskan rangkaian sindiket dadah antarabangsa, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan taktik licik penjenayah.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
TAHUKAH ANDA?
📌 50 individu disyaki menjadi keldai dadah telah ditahan di KLIA dalam tempoh 2025 hingga April 2026.
Pecahan warganegara yang ditahan:
- 🇲🇾 Malaysia: 19 orang
- 🇬🇧 Britain: 8 orang
- 🇹🇼 Taiwan: 5 orang
- 🇸🇬 Singapura: 4 orang
- 🇮🇩 Indonesia: 4 orang
- 🇲🇻 Maldives: 3 orang
- 🇫🇷 Perancis: 3 orang
- 🇭🇰 Hong Kong: 1 orang
- 🇹🇭 Thailand: 1 orang
- 🇸🇰 Slovakia: 1 orang
- 🇮🇪 Ireland: 1 orang
Turut direkodkan, 30 rakyat Malaysia telah ditahan di luar negara bagi tempoh Januari hingga April 2026, berbanding 66 orang pada 2025 dan 84 orang pada 2024. Tangkapan melibatkan beberapa negara termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.
Bagi membanteras jenayah rentas sempadan ini, JSJN terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa luar negara melalui perkongsian risikan, operasi bersepadu dan pertukaran maklumat, sekali gus mempertingkat keberkesanan usaha mengesan, membanteras dan melumpuhkan rangkaian sindiket dadah antarabangsa.
Sumber: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, 22 Julai 2026.
