
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Kerajaan MADANI mempercepat usaha menyelesaikan isu penyediaan tapak perumahan bagi generasi kedua FELDA menerusi langkah penyelarasan dasar dan penambahbaikan perundangan bagi memenuhi keperluan peneroka serta keluarga mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu kertas dasar akan disediakan dalam tempoh sebulan sebelum dibentangkan kepada Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier bagi membolehkan pembangunan rumah generasi kedua di kawasan penempatan FELDA dipercepatkan.
Beliau turut memaklumkan pindaan terhadap Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) akan dibentangkan tahun ini bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka FELDA.
Menurut beliau, kerajaan juga akan mempercepat proses kelulusan Rang Undang-Undang berkaitan sebaik draf dimuktamadkan, namun pelaksanaan beberapa inisiatif boleh diteruskan lebih awal dengan kerjasama kerajaan negeri dan pengurusan FELDA.
Langkah itu melengkapkan pelbagai inisiatif yang diumumkan sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA, termasuk pembiayaan semula pinjaman Sukuk FELDA, penghapusan hutang peneroka serta peruntukan melebihi RM1 bilion pada tahun hadapan bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan komuniti FELDA.
