
PASIR MAS, 26 Julai –
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 68 peket minyak masak bersubsidi ke Thailand menerusi satu operasi di Pengkalan Haram Perdah 2, Jeram Perdah.
Dalam operasi itu, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan melarikan diri menggunakan perahu ke arah tebing Sungai Golok di Thailand selepas menyedari kehadiran anggota PGA, sekali gus meninggalkan barangan yang dipercayai untuk diseludup.
Hasil risikan mendapati lokasi berkenaan dipercayai dijadikan pusat transit oleh sindiket sebelum minyak masak bersubsidi dipindahkan menggunakan perahu merentasi sempadan ke Thailand.
Kesemua 68 peket minyak masak bersubsidi, yang dianggarkan bernilai RM170, telah dirampas dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala pihak berkuasa terus memperkukuh kawalan di kawasan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta memastikan bekalan barangan bersubsidi kekal dinikmati oleh rakyat Malaysia.
