Faez Komited Jadikan Pendidikan Agenda Utama di DUN Labu

LABU, 26 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak menegaskan bahawa aspek pendidikan akan terus menjadi keutamaan sekiranya diberi mandat, dengan memastikan tiada pelajar di kawasan itu tercicir daripada sistem persekolahan.

Beliau berkata, pendidikan bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal di sekolah, malah memerlukan pendekatan proaktif untuk mendekati pelajar serta keluarga yang berdepan pelbagai cabaran sehingga menyebabkan mereka tidak hadir ke sekolah.

Menurutnya, beliau sendiri pernah turun padang bersama pihak sekolah untuk mencari pelajar yang ponteng bagi memastikan mereka kembali mengikuti sesi pembelajaran.

“Kerisauan kita ialah masih ada segelintir ibu bapa yang menganggap pendidikan bukan satu keutamaan. Perkara ini perlu diubah kerana pendidikan adalah asas membina masa depan anak-anak,” katanya.

Faez berkata, komitmen beliau terhadap pembangunan pendidikan dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang berkhidmat di DUN Labu, termasuk lawatan berkala ke sekolah-sekolah, penambahbaikan infrastruktur, sumbangan kepada tadika serta penyediaan peralatan bagi menyokong aktiviti pendidikan seperti program podcast sekolah.

Beliau menegaskan bahawa peruntukan DUN dimanfaatkan bagi memperkukuh ekosistem pendidikan demi memastikan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berkualiti.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, DUN Labu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak mewakili Pakatan Harapan (PH), Mohamad Hanifah Abu Bakar (Bersatu) dan Siti Nur Umaira Hashim (Barisan Nasional).

DUN Labu mempunyai seramai 32,884 pengundi berdaftar, terdiri daripada 76.2 peratus Melayu, 13.3 peratus India, 7.4 peratus Cina, 1.5 peratus Orang Asli dan 1.6 peratus kaum lain.

Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *