
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) secara rasmi membuka pencalonan bagi Anugerah Transport Expo Asia (TXA) 2026, sebuah platform pengiktirafan nasional yang julung kali diperkenalkan bagi menghargai kecemerlangan, inovasi dan kepimpinan dalam sektor pengangkutan serta logistik negara.
Penganjuran anugerah berprestij itu diadakan bersempena Transport Expo Asia (TXA) 2026 bagi mengiktiraf organisasi dan individu yang telah menyumbang kepada pembangunan sistem pengangkutan darat, rel, maritim, penerbangan dan logistik yang lebih selamat, mampan, berdaya tahan serta berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan pengurusan oleh Alpine Integrated Solution, Transport Expo Asia merupakan satu-satunya pameran pengangkutan bersepadu di dunia yang menghimpunkan keseluruhan rantaian nilai sektor pengangkutan di bawah satu bumbung. Edisi 2026 dijangka melibatkan lebih 250 syarikat pempamer dari lebih 20 negara, sekali gus menjadi platform strategik bagi kerjasama industri, pemindahan teknologi, pelaburan dan perkongsian pengetahuan.
Sebanyak 10 kategori anugerah dipertandingkan, termasuk Anugerah Laureate Menteri Pengangkutan bagi Kepimpinan Pengangkutan Negara, Inovator Pengangkutan Terbaik, Inisiatif Pengangkutan Mampan Terbaik, Pengendali Logistik Terbaik, Pengendali Pelabuhan Terbaik, Pengendali Perkapalan Terbaik, Pengendali Pengangkutan Darat Terbaik serta Kecemerlangan Kewartawanan Pengangkutan. Anugerah tertinggi itu akan diberikan kepada organisasi yang telah memberi sumbangan luar biasa dan berimpak tinggi dalam memajukan ekosistem pengangkutan Malaysia.
Semua finalis akan diraikan pada Majlis Gala Anugerah Transport Expo Asia 2026 yang dijadual berlangsung pada 22 Oktober 2026 di Hyatt Regency Kuala Lumpur at Midtown. Pemenang akan dipilih oleh panel penilai bebas yang terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dalam industri bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara adil, telus dan berintegriti.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, YBhg. Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan, berkata anugerah tersebut diwujudkan sebagai penghargaan kepada organisasi yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan sektor pengangkutan negara, sambil menggalakkan lebih banyak organisasi mengetengahkan pencapaian yang memberi manfaat kepada industri.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook berkata penganjuran Anugerah TXA akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan industri pengangkutan di rantau ini, selain memberi peluang kepada finalis dan pemenang memperoleh pengiktirafan yang lebih meluas di peringkat serantau dan global.
Pencalonan kini dibuka kepada organisasi tempatan dan antarabangsa, dengan tarikh tutup penyertaan pada 31 Ogos 2026. Anugerah Transport Expo Asia dijangka menjadi antara pengiktirafan tahunan paling berprestij dalam sektor pengangkutan dan logistik, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem pengangkutan negara yang lebih moden, inovatif dan mampan.
