
29 Julai 2026
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terus memperkukuh agenda transformasi digital dengan memperkenalkan ekosistem penyampaian perkhidmatan yang lebih moden, cekap dan berintegriti. Pendigitalan urusan pertubuhan ini bukan sahaja mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan, malah mengurangkan kebergantungan kepada dokumentasi fizikal serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan hampir 200,000 pertubuhan berdaftar di seluruh negara.
“Transformasi digital ini mengurangkan interaksi bersemuka, meningkatkan kepantasan sistem penyampaian dan sekali gus mengatasi isu-isu integriti. Pendigitalan bukan sekadar mempercepatkan urusan, malah memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Pelaksanaan ekosistem digital JPPM menandakan perubahan penting ke arah tadbir urus yang lebih responsif, telus dan efisien. Melalui platform digital, urusan utama pertubuhan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, mengurangkan proses manual serta memudahkan capaian kepada perkhidmatan kerajaan. Langkah ini turut memperkukuh integriti sistem dengan meminimumkan risiko kesilapan dan meningkatkan kecekapan pengurusan.
KDN akan terus memacu transformasi digital di semua jabatan dan agensi di bawah kementerian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sentiasa relevan, pantas dan berorientasikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan tadbir urus baik, inovasi serta penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.
