
SEREMBAN, 29 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa kebajikan dan pembangunan masyarakat India melalui pendekatan yang lebih menyeluruh serta pemantauan secara langsung di peringkat tertinggi.
Beliau berkata, perhatian kerajaan tidak hanya tertumpu kepada pelaksanaan program di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), malah merangkumi aspek pembiayaan usahawan, pendidikan, kewarganegaraan, bantuan sosial dan pembangunan ekonomi bagi memastikan manfaat dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Menurut beliau, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan akan terus menyelaras pelaksanaan inisiatif berkaitan, manakala beliau sendiri akan memantau perkembangan serta memastikan setiap dasar yang dirancang dilaksanakan dengan berkesan.
Datuk Seri Anwar berkata, pendekatan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu masyarakat India secara lebih tersusun, inklusif dan berfokus, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Bersama PMX yang dihadiri lebih 3,000 anggota masyarakat India di Seremban.
