
1 Ogos 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Polis Diraja Malaysia melalui Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman terus memperkukuh pendekatan Smart Enforcement berasaskan risikan strategik (Intelligence-Led Enforcement) dalam membanteras jenayah rentas sempadan, penyeludupan barangan tidak bercukai serta perdagangan haram hidupan liar.
βPendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan dan kerjasama strategik antara agensi akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap rangkaian jenayah dapat dikesan, ditumpaskan dan dihadapkan ke muka pengadilan demi keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.β
β YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Menerusi Op Taring Alpha 2 dan Operasi Bersepadu Khazanah (Brian Exotic) yang dilaksanakan pada 30 hingga 31 Julai 2026, WCB/PSK berjaya mencatatkan kejayaan signifikan dengan enam (6) tangkapan, rampasan keseluruhan bernilai RM2.09 juta, merampas 644 unit minuman keras tidak bercukai serta menyelamatkan 89 ekor kura-kura daripada dua spesies yang dilindungi.
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, WCB/PSK turut merekodkan 21 kes Op Taring Alpha 2 dengan 43 tangkapan dan nilai rampasan RM38.70 juta, manakala Operasi Bersepadu Khazanah mencatatkan 53 kes, 56 tangkapan serta nilai rampasan berjumlah RM93.88 juta. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan pintar yang memanfaatkan risikan strategik, analisis ancaman dan kerjasama erat bersama agensi penguat kuasa bagi melindungi keselamatan negara, hasil kerajaan dan khazanah biodiversiti Malaysia.
KDN akan terus memperkukuh sinergi rentas agensi serta memperluaskan perkongsian risikan bagi memastikan setiap bentuk jenayah terancang dapat dibanteras secara lebih berkesan, profesional dan berintegriti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Sumber:
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Polis Diraja Malaysia β Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Kenyataan Media, 31 Julai 2026.
