Semangat Malaysia MADANI Diserlahkan Melalui Kibaran Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Semangat Malaysia MADANI terus diperkukuh menerusi penganjuran Majlis Kibarkan Jalur Gemilang: Kesejahteraan Dinikmati yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis anjuran Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan antara usaha kerajaan bagi menyemarakkan semangat Malaysia MADANI yang berteraskan perpaduan, kesejahteraan serta kecintaan terhadap negara.

Program berkenaan merupakan antara pengisian utama Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, yang bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat melalui kibaran Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan dan kebanggaan terhadap tanah air.

Pada majlis tersebut, Ketua Setiausaha Negara turut menyampaikan Kit Jalur Gemilang kepada Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Perkhidmatan sebagai simbol komitmen seluruh Perkhidmatan Awam dalam menjayakan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) 2026.

Inisiatif 1R1JG dijangka menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk penjawat awam, sektor swasta dan institusi pendidikan, bagi mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan sebagai manifestasi kecintaan, perpaduan dan kesetiaan kepada negara.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HKHM 2026, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad; serta Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan nasional serta menggalakkan penyertaan seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kebanggaan dan identiti negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *