
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YAB Datuk Amar Hj Fadillah bin Hj Yusof, akan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat selepas dinasihatkan oleh pasukan pakar perubatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri PETRA, keadaan kesihatan beliau dilaporkan stabil. Namun begitu, beliau dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya dan tidak menerima sebarang pelawat bagi memastikan proses rawatan serta pemulihan berjalan dengan lancar.
Sehubungan itu, pihak keluarga memohon agar seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan supaya urusan pembedahan dan rawatan beliau dipermudahkan, dikurniakan kesembuhan serta dapat kembali menjalankan tugas rasmi seperti biasa.
Dalam masa yang sama, keluarga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas doa, sokongan serta keprihatinan yang diberikan terhadap kesihatan Timbalan Perdana Menteri.
Sumber: Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)
Sorotan Berita: Jendela Madani
